AMERIKA Syarikat merekodkan lebih lima juta kes Covid-19, menurut pengiraan John Hopkins University semalam, dengan lebih 162,000 kematian dilaporkan ketika negara itu terus bergelut mengekang penularan wabak.
Kes Covid-19 di AS dilaporkan mencecah 5,000,603 pada awal pagi Ahad dengan 162,441 korban- jumlah tertinggi di dunia pada masa kini.
Manakala, korban wabak di Brazil pula mencecah 100,000 dengan tiga juta kes jangkitan, melampaui angka menakutkan selepas Presiden Jair Bolsonaro berkata beliau “sedar” tentang tindak balasnya terhadap krisis kesihatan awam itu.
Dengan 100,477 korban dan 3,012,412 kes, negara Amerika Selatan dengan penduduk 212 juta orang itu adalah negara kedua terburuk dilanda wabak selepas AS.
Angka korban wabak di Chile pula kini melebihi 10,000 orang, lima bulan selepas kes pertama dikesan di negara antara paling teruk terjejas di rantau Amerika Latin.
Dengan penduduk hanya 18 juta orang, kadar kematian wabak adalah 523.7 per satu juta penduduk, lebih tinggi daripada Brazil yang mempunyai kadar 472.7.
Di Afrika Selatan pula, lebih 10,000 orang jadi korban wabak.
Negara paling maju benua Afrika itu mendaftarkan 553,188 kes, lebih separuh daripada kes di benua itu, dan kelima tertinggi di dunia.
Wabak Covid-19 kini sudah membunuh 727,288 sejak mula muncul di China pada Disember lalu, dengan 19,674,290 kes, bermakna tahap 20 juta kes akan dicapai tidak lama lagi.
Menurut pengiraan AFP, 11,665,200 orang kini dilaporkan pulih daripada Covid-19.
New Zealand semalam meraikan 100 hari tanpa kes jangkitan baharu.
Terdapat 23 kes aktif di negara itu, tetapi semuanya adalah kes import dan pesakit sedang dirawat dan diasingkan di pusat isolasi. – AFP, 10 Ogos, 2020.
Komen