SEBUAH restoran di India yang mahu kembali menarik pelanggan yang bimbang makan di luar ketika musim wabak, memperkenalkan “kari Covid” dan “mask naan”.
“Waktu yang sangat sukar untuk kami dan seluruh sektor makanan,” kata Yash Solanki, pemilik sebuah kedai makanan Vedic di Jodphur kepada AFP.
Bebola sayur goreng dibentuk menjadi “mahkota koronavirus”, disertai dengan roti yang kelihatan seperti pelitup muka.
Solanki berkata mereka juga menambah dan mengiklankan, yang kari Covid mereka ditambah herba India untuk kesihatan orang ramai.
“Walaupun perintah berkurung sudah dilonggarkan, ketakutan masih ada. Orang ramai masih takut untuk makan di luar,” kata Solanki.
Hampir 800 orang maut setiap hari di negara kedua paling ramai penduduk di dunia itu, dengan sekitar 50,000 kes jangkitan dilaporkan setiap 24 jam.
Negara itu merekodkan 1.8 juta kes, negara ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan Brazil, dengan lebih 38,000 kematian. – AFP, 10 Ogos, 2020.
Komen