10 pemain positif Covid-19, perlawanan bola sepak Brazil tangguh


Musim bola sepak Brazil bermula pada Sabtu selepas tiga bulan tertangguh kerana wabak Covid-19. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2020.

SEPULUH orang pemain bola sepak kelab Goias di Brazil semalam diberitahu yang mereka positif Covid-19, memaksa penangguhan saat akhir perlawanan.

Pasukan itu dijadualkan bertemu Sao Paulo FC tanpa kehadiran penonton dalam perlawanan hujung minggu musim bola sepak kebangsaan Brazil.

Keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Agung Sukan Bola Sepak, yang akhirnya diterima Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF).

Sebelum keputusan mahkamah itu diumumkan, beberapa minit sebelum perlawanan dijadual berlangsung, dua pasukan itu dalam keadaan keliru. Pemain Sao Paulo FC sudah mula memanaskan badan sambil menunggu keputusan akhir.

“10 daripada 23 pemain sah positif. Malangnya, kami hanya terima keputusan hari ini,” jelas Presiden Goias Marcelo Almeida kepada saluran TV Globo.

Menurut laporan media Brazil, lapan daripada 10 pemain itu adalah pemain yang sentiasa turun padang.

Sao Paulo FC berkata mereka tiada masalah dengan penangguhan itu, menerusi Twitternya berkata “tiada yang lebih penting daripada terus sihat.”

Musim bola sepak bermula pada Sabtu, tiga bulan tertangguh kerana wabak Covid-19.

Di bawah protokol baharu dikuatkuasa CBF, semua pemain dihendaki menjalani ujian kurang 72 jam sebelum setiap perlawanan.

Pada Sabtu, lebih 100,000 orang sudah jadi korban wabak di Brazil yang kini melaporkan tiga juta kes jangkitan. – AFP, 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen