13 kes baharu Covid-19 dicatat 


Ragananthini Vethasalam

Covid-19 masih belum sepenuhnya dapat ditangani, warga Malaysia perlu mengamalkan SOP yang diwartakan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2020.

MALAYSIA mencatat 13 kes Covid-19 baharu setakat tengah hari ini dengan empat jangkitan daripada penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Angka jangkitan baharu itu menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan di Malaysia sebanyak 9,083.

Noor Hisham berkata tiga kes dikesan di Pulau Pinang, di mana dua lagi dari kluster Sivagangga di Kedah.

Kes ketiga di Pulau Pinang dikaitkan dengan kluster baharu di Kurau.

Kes penularan tempatan keempat dikesan di Putrajaya dan merupakan sebahagian daripada kluster baharu di Meranti.

Sembilan jangkitan selebihnya adalah kes import melibatkan lima kes warga tempatan.

Sementara itu, sembilan pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang setakat hari ini.

Angka terkini itu menjadikan jumlah pemulihan jangkitan Covid-19 secara keseluruhan sebanyak 8,784.

Bagaimanapun, 174 kes aktif turut direkodkan dan tidak ada kematian dilaporkan, menjadikan angka kematian masih pada angka 125.

Sementara itu, seorang pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi. – 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen