Ketua Armada Perlis tinggalkan Bersatu


KETUA Pemuda Bersatu Perlis (Armada), Syazwan Fahmi Badrul Sham adalah pemimpin terbaharu yang meninggalkan parti itu bagi mendukung perjuangan bersama Dr Mahathir Mohamad.

Syazwan berkata bahawa beliau akan melepaskan semua jawatannya dalam Bersatu dengan segera.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan saya di sayap pemuda yang mengalami pergolakan. Saya harap kita masih berkawan walaupun saya menempuh jalan berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.

Syazwan berkata, keputusan itu dibuat setelah berunding dengan beberapa pemimpin di peringkat bahagian, cawangan dan negeri di Perlis.

“Bagi rakan yang lain, saya akan serahkan kepada mereka untuk membuat pengumuman itu sendiri. Saya tidak meminta atau mengajak sesiapa untuk meninggalkan Bersatu.”

Awal hari ini, ahli majlis tertinggi Bersatu Ulya Aqamah Husamudin dan ketua pemuda Bersatu bahagian Gerik Abu Hafiz Saleh Hudin mengumumkan peletakan jawatan mereka dari parti yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Peletakan jawatan dalam parti oleh pemimpinnya berlaku setelah Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang akan menegakkan perjuangan asal Bersatu iaitu untuk menamatkan rasuah.

Dua anggota dewan tertinggi lain - A. Kadir Jasin dan Tariq Ismail - juga turut keluar dari parti itu, sementara Adun Jeram, Shaid Rosli keluar daripada parti itu semalam.

Malam tadi Ketua Bahagian Bersatu Petaling Jaya, Mohamad Shafiri Abd Karim meninggalkan Bersatu dengan membawa 500 anggota keluar bersamanya.

Mereka berkata bahawa mereka telah kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Pemimpin Bersatu di Kota Raja dan Bangi juga dikatakan akan membuat pengumuman serupa hari ini.

Nama parti baharu Dr Mahathir masih belum diputuskan kerana beliau sedang menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Pemimpin berusia 95 tahun itu berkata bahawa parti baharu itu diperlukan kerana semua parti Melayu lain telah menyimpang dari tujuan asalnya.

“Kami sedang membentuk parti baharu. Parti ini akan menjunjung tinggi nilai Bersatu ketika ia ditubuhkan. Kami akan memerangi rasuah tanpa henti,” kata bekas perdana menteri itu. – 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen