Pengarah Consortium Zenith bukan saksi boleh dipercayai dalam kes Guan Eng, kata Tony Pua


Angie Tan

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua mengulas kredibiliti Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebagai saksi kes rasuah Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2020.

ZARUL Ahmad Mohd Zulkifli, pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, bukan saksi yang boleh dipercayai dalam kes terowong bawah laut Pulau Pinang yang melibatkan Lim Guan Eng, kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata Zarul sebelum ini pernah secara terbuka memuji Lim yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan kerajaan negeri dalam media sosial.

“Zarul berkata sebelum ini beliau perlu mengikut (kehendak pihak tertentu) untuk mengikat kontrak kerajaan tetapi Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan mengamalkan tender terbuka.

“Jadi mana-mana syarikat yang mahu mendapatkan kontrak perlu memiliki pelan yang bagus. Beliau memuji Pulau Pinang atas ketelusan kerajaan negeri,” kata Pua dalam sesi siaran langsung menerusi Facebook hari ini.

Beliau mempersoalkan apa yang mendorong Zarul untuk mengatakan bahawa Lim cuba mendapatkan rasuah 10% daripada projek terowong.

“Adakah individu ini boleh dipercayai? Kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu beliau menjadi saksi kes ini?

“Jadi, ini sebabnya kita yakin untuk membuktikan Lim Guan Eng tidak bersalah dalam kes ini.”

Lim mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendapatkan rasuah 10% daripada keuntungan projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Beliau didakwa di mahkamah khas rasuah di Kuala Lumpur pada Jumaat di hadapan hakim Azura Alwi.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 dekat Hotel The Gardens, Mid Valley di Kuala Lumpur ketika beliau masih menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau didakwa meminta rasuah daripada Zarul yang syarikatnya dilantik Pulau Pinang untuk melaksanakan projek itu.

Lim dijangka berdepan beberapa pertuduhan lain pada Isnin dan Selasa. – 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen