Korban Covid-19 di Brazil lepasi angka 100,000


Brazil mencatatkan 478 kematian bagi setiap sejuta penduduk, jumlah yang hampir sama dengan AS (487), tetapi lebih rendah berbanding Sepanyol (609) atau Itali (583). – Gambar AFP, 9 Ogos, 2020.

ANGKA kematian akibat Covid-19 di Brazil melepasi angka 100,000 orang dengan tiga juta kes jangkitan setakat semalam.

Dengan 100,477 kematian dan 3,012,412 kes positif, negara Amerika Selatan yang memiliki 212 juta penduduk itu menjadi negara kedua paling teruk terjejas akibat pandemik maut itu selepas Amerika Syarikat.

Kementerian kesihatan Brazil melaporkan 905 kematian baharu dalam tempoh 24 jam lepas selain 49,970 kes baharu.

Namun angka itu dijangka lebih rendah kerana pakar menganggarkan jumlah sebenar kes jangkitan mungkin enam kali ganda ekoran ketidakmampuan Brazil untuk menjalankan ujian secara besar-besaran.

Brazil mencatatkan 478 kematian bagi setiap sejuta penduduk, jumlah yang hampir sama dengan AS (487), tetapi lebih rendah berbanding Sepanyol (609) atau Itali (583).

Penularan wabak Covid-19 di Brazil tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda selepas enam bulan.

Kes pertama dikesan di Sao Paulo pada 26 Februari dengan kematian pertama dicatatkan pada 12 Mac di bandar sama. – AFP, 9 Ogos, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen