PEMAKAIAN topeng muka akan diwajibkan di sebahagian kawasan di Paris dan di wilayahnya yang lebih luas mulai esok sebagai langkah mengekang peningkatan jangkitan Covid-19 di dalam serta sekitar ibu negara Perancis, kata polis.
Topeng muka diwajibkan kepada individu berusia 11 tahun dan ke atas bermula jam 8 pagi (waktu tempatan) di beberapa zon yang padat, kata polis dalam satu kenyataan semalam tanpa memberi perincian kawasan terbabit.
“Semua maklumat menunjukkan sejak pertengahan Julai virus ini kembali menular secara lebih aktif di wilayah ini,” katanya menambah bahawa 400 individu disahkan positif Covid-19 di wilayah itu setiap hari melibatkan individu berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Malah katanya kadar ujian saringan yang positif adalah 2.4 peratus berbanding kadar purata kebangsaan 1.6 peratus.
Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo sebelum ini menggesa polis mewajibkan pemakaian topeng muka di beberapa bahagian kota Perancis termasuk di tambak sungai Seine dan di pasar terbuka.
Sejak bulan lalu topeng muka diwajibkan di ruangan awam tertutup seperti kedai di seluruh negara itu namun beberapa bandar turut mewajibkannya di kawasan awam lain antaranya Nice, Marseille dan Lille.
Perancis menarik semula arahan perintah pengurungan selama dua bulan dengan agak pantas dan keadaan kembali hampir seperti biasa dengan tempoh percutian tempatan sedang berlangsung.
Namun pihak berkuasa bimbang dengan peningkatan kadar jangkitan baharu di negara itu yang kini mencatatakan 30,324 kematian akibat Covid-19.
Pada Jumaat lalu Perancis melaporkan 2,288 jangkitan baharu iaitu peningkatan ketara kes harian berbanding beberapa minggu sebelum ini.
Kerajaan memberi amaran pada minggu ini bahawa Perancis bila-bila masa sahaja akan hilang kawalan terhadap penyebaran koronavirus. – AFP, 9 Ogos, 2020.
Komen