3 laluan ke Kuala Sanglang ditutup mulai 10 malam tadi


Tiga laluan utama ke Kuala Sanglang mula ditutup 10 malam tadi selepas kerajaan negeri Perlis mengumumkan pelaksanaan Temco. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2020.

TIGA laluan utama ke Kuala Sanglang mula ditutup 10 malam tadi selepas kerajaan negeri Perlis mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco).

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) di empat laluan masuk ke Kuala Sanglang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Empat SJR itu adalah di Simpang Tiga, Jalan Padang Keria, hadapan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang dan hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 20 anggota dan pegawai diletakkan pada setiap SJR.

“Orang ramai yang berada dalam kawasan Temco (Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul diminta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak penularan wabak,” katanya.

Semalam, dilaporkan kerajaan negeri Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di dua kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes dengan 11 kes baharu daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga. – Bernama, 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen