Tanggungjawab artis mengkritik, dengar suara mereka


Zunar

Penyanyi Sheila Majid bercakap tentang makanan mahal dan kos sara hidup tinggi menerusi Twitter, baru-baru ini. – Gambar Twitter, 8 Disember, 2017.

SEJAK akhir-akhir ini, nama-nama penyanyi dan pelakon seperti Sheila Majid dan Nur Fathia Abdul Latiff menjadi mangsa hentaman pemimpin Umno dan kerajaan. Sebelum itu, Siti Nurhaliza, Sharifah Amani, Daphne Iking, Adibah Noor dan beberapa yang lain turut jadi bahan kecaman mereka. Ada pemimpin yang terkejut dan ada yang menuduh artis tak layak bercakap.

“Makanan mahal, ringgit lemah. Kos sara hidup tinggi dan pekerjaan berkurangan. Rakyat Malaysia menjadi letih dan marah kerana diperah dek hutang yang bukan kita lakukan. Berhenti mencari alasan dan kesalahan. Fokus kepada usaha supaya negara kita kembali ke landasan yang betul. Mengecewakan,” begitulah terjemahan kata Sheila dalam Twitternya. 

Pemimpin Umno Annuar Musa menyatakan Sheila tak layak bercakap kerana dia bukan pakar ekonomi. Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar pula terkejut dengan kenyataan Ratu Jazz itu. Sebelum itu, Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri, Rizal Mansor menuduh pelakon Nur Fathia sebagai pro pembangkang dan cuba memesongkan pemikiran rakyat.

Nur Fathia menjawab seperti yang dimuat naik dalam status Twitternya: “Saya tidak tweet mengenai politik, tetapi saya tweet mengenai realiti.”

Tepat sekali. Apa yang Sheila dan Nur Fathia luahkan itu bukan persoalan politik. Tapi ia rangkuman jitu tentang keluh kesah rata-rata rakyat Malaysia sekarang ini. Topik yang sama kita dengar dibualkan di kedai-kedai kopi, di salun rambut atau di dalam bas dan teksi.

Menjadi tanggung jawab artis yang dikurniai bakat oleh Tuhan untuk mengetengahkan suara rakyat secara peribadi atau melalui karya. Ia bukan satu dosa atau kesalahan jenayah. Mengapa pemimpin Umno dan kerajaan harus melenting?

Lebih buruk lagi, apabila gagal menjawab hujah, kerajaan akan menggunakan kuasa untuk menekan. Mengikut kelaziman, selepas kenyataan, ia akan diikuti dengan tindakan blacklist dan gam.

Menurut pengalaman teman-teman artis penulis sendiri seperti Dayang Ku Intan, Aisyah, Abby Abadi, Hairie Othman (sekadar menyebut beberapa nama), mereka menjadi mangsa selepas tidak bersetuju dengan kerajaan.

Selepas bersuara, lagu-lagu mereka diharamkan dan kontrak lakonan ditamatkan. Stesen TV menerima tekanan dari kerajaan supaya tidak menjemput mereka menyanyi. Syarikat perfileman dan iklan juga menerima tekanan supaya tidak memberi peluang lakonan kepada mereka.

Artis dihukum kerana melaksanakan tanggungjawab. Kerajaan jenis apakah yang memerintah Malaysia sekarang ini? Belum cukup lagikah kekangan dan tekanan dikenakan terhadap penggiat seni selama ini?

Undang-undang, penapisan secara bertulis atau lisan sudah lama digunakan untuk membisukan penggiat seni. Menurut teman-teman, ada peraturan bahawa filem dan lagu dilarang menyentuh persoalan sosioekonomi seperti unsur penentangan rasuah, hak asasi atau kritikan terhadap pembaziran pemerintah.

Sekiranya berbuat demikian, filem atau lagu mereka akan diharamkan.

Seorang pelakon veteran memberitahu, bukan hanya Lembaga Penapisan Filem, PDRM juga akan menapis filem sekiranya menyentuh watak polis.

Filem Gerak Khas The Movie, khabarnya terpaksa dirakamkan semula sebahagian adegannya kerana kekangan ini. Akibat larangan ini, hasil seni kita menjadi hambar dan gagal mengetengahkan realiti masyarakat berbanding hasil seni negara lain. Ramai penggiat seni terpaksa memilih tema “cinta tiga segi” sebagai jalan selamat.

Bagaimana nak menzahirkan realiti, kalau satu tweet keluhan masalah rakyat, sudah menyebabkan seluruh pemimpin negara melompat? Kerajaan harus lebih terbuka dan tidak boleh menutup mulut artis.

Percambahan pemikiran melahirkan artis berkualiti. Artis yang berkualiti akan memajukan seni tanah air. Kita tidak perlukan artis yang mengampu atau menampar orang lain kalau bertanya soalan.

Artis harus dibenarkan bersuara dan kerajaan harus mendengar suara mereka, bukan menghukum. Biarkan mereka bebas membawa suara rakyat dan masyarakat marhaen.

Filem, lagu dan hasil seni lain harus dibenarkan menjadi alat mengkritik selain menghibur. Kebebasan bersuara hak artis, bukan hak kerajaan. Dalam suasana ini, saya merasakan hak itu tidak akan diberikan. Saya menyarankan kepada artis supaya bangun melawan dan mendapatkan kembali hak anda. – 8 Disember, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Penulis adalah kartunis dan pemenang anugerah “Cartooning For Peace Award 2016” di Geneva yang disampaikan oleh Kofi Annan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen