Covid-19: Kim Jong-un salur bantuan ke Kaesong


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un memastikan bahawa tindakan kecemasan diambil untuk membekalkan makanan dan ubat-ubatan segera selepas Kaesong disekat sepenuhnya bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2020.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un mengarahkan pengagihan bantuan ke bandar sempadan Kaesong selepas kawasan itu dikenakan perintah pengurungan bulan lalu bagi mengekang wabak Covid-19, kata media kerajaan hari ini.

Pihak berkuasa menaikkan keadaan darurat ke tahap maksimum untuk kota itu pada Julai selepas mereka menemui kes Covid-19 pertama di negara itu.

Sebuah kereta api yang membawa barang tiba di bandar Kaesong yang “disekat sepenuhnya” pada Jumaat, lapor agensi berita rasmi KCNA.

“Pemimpin Tertinggi memastikan bahawa tindakan kecemasan diambil untuk membekalkan makanan dan ubat-ubatan segera selepas kota itu disekat sepenuhnya dan kali ini dia melihat banyak beras dan subsidi dibawa ke kota itu,” katanya.

Kim bimbang dengan keadaan penduduk di Kaesong ketika mereka meneruskan kempen untuk mengekang penyebaran wabak berkenaan, tambah laporan itu.

Bulan lepas Pyongyang berkata seorang pembelot yang berangkat ke Korea Selatan tiga tahun lalu kembali pada 19 Julai dengan “menyeberangi” perbatasan yang dibina untuk membahagi dua negara.

Lelaki itu menunjukkan gegala koronavirus dan diletakkan di bawah kuarantin ketat, kata pihak berkuasa tetapi negara itu belum dapat memastikan sama ada dia positif ataupun tidak.

Jika ia disahkan, ini akan menjadi kes pertama Covid-19 di Korea Utara di mana infrakstruktur perubatan dilihat sangat tidak mencukupi untuk menangani sebarang wabak.

Korea Utara menutup sempadannya pada akhir Januari apabila virus itu mula merebak di negara jiran China.

Mereka mengenakan sekatan ketat dengan mengasingkan ribuan orang tetapi penganalisis berkata bahawa negara itu tidak mungkin dapat mengelak penularan virus berkenaan. – 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen