Yang tergadai di Jalan Haji Taib dan Kompleks Pertama


Zainal Rashid Ahmad

SEMUANYA ketara; jelas dan nyata. Sekiranya anda pergi ke Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur dan melihat keadaan di tapak peniagaan Pasar Pakaian Terpakai, 70% lot niaga dikuasai pendatang asing.

Bagaimana pendatang asing boleh menjadi pemilik lot perniagaan yang dikhaskan untuk peniaga Bumiputera?

Lebih aneh: apakah wujud permit pekerja asing bagi pekerja pembantu perniagaan kategori ini?

Mengenai isu sebenar di sebalik skandal ini, jawapannya mudah: lesen lot niaga yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada peniaga kecil Melayu telah “dialibabakan”.

Ini cara peniaga Melayu yang malas meraih untung mudah dan besar dengan menyewakan lesen dan lot berniaga.

Selalunya peniaga kecil jenis ini memiliki tiga atau empat lot atau premis (malah ada yang memiliki melebihi 10 lot melalui proksi keluarga) dan kemudian menyewakannya.

Dengan kadar sewa pada harga lapan atau 10 kali ganda berbanding sewa DBKL, ia mencipta pendapatan lumayan tanpa perlu berniaga.

Minggu lalu saya menulis isu yang sama mengenai manipulasi lesen DBKL. Cuma, saya ulangi sekali lagi minggu ini kerana isu ini sudah sekian lama menjadi jenaka sarkarstik.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan pada 18 Mac lalu, antara operasi besar-besaran pihak berkuasa ialah mengepung dan menahan pendatang asing yang meniaga secara haram.

Hari ini, menjelang empat bulan operasi kontroversi yang menerima banyak kritikan media antarabangsa itu berlalu – peniaga warga asing kembali memenuhi kawasan yang dikhaskan kepada kuota Bumiputera.

Peniaga pendatang asing ini bukan merampas hak Bumiputera; tetapi ia berlaku kerana skandal penyelewengan lesen yang berleluasa sejak sekian lama.

“Belakang Mati di sini mungkin kawasan tercorot, tetapi boleh pergi ke Pertama Kompleks kerana di sana pun sama,” kata peniaga Bumiputera di sekitar Jalan Haji Taib.

Di sekitar pasar pakaian terpakai di Jalan Haji Taib, terdapat sekitar 50 lot niaga dikhaskan kepada penjaja kecil. Tetapi kurang 10 tapak diusahakan peniaga Bumiputera.

“Semua pendatang asing ini nampak macam pekerja kepada pemilik kedai sedangkan

Hakikatnya mereka memiliki perniagaan ini dengan dan menyewa tapak daripada pemegang lesen asal,” kata peniaga yang sudah 11 tahun berniaga di sekitar kawasan itu

Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa, peniaga muda ini menjawab dengan sinis.

“Lebih 10 tahun keadaan ini berlaku dan setiap tahun makin banyak tapak disewakan kepada pendatang asing.

“DBKL pun tak boleh buat apa sebab warga asing ini akan menyamar sebagai pekerja. Jadi nak bertindak macam mana sebab yang menipu pun orang kita juga,” katanya.

Menurut peniaga muda ini, kehadiran peniaga warga asing secara terbuka “membunuh” peniaga Bumiputera yang masih bertahan.

“Mereka menjual barang dengan yang harga lebih murah kerana kos sara hidup mereka rendah.

“Mereka menyewa rumah beramai-ramai dan anak isteri mereka tinggal di Bangladesh,” katanya.

Sebagai peniaga muda yang memikul beban bayaran rumah, kos persekolahan anak, ansuran kereta dan pelbagai keperluan lain – peniaga muda ini meletakkan harga barangan pada kadar bersesuaian dengan kos sara hidupnya.

“Peniaga warga asing menawarkan harga 30% hingga 50% lebih murah dan ini membunuh peniaga tempatan,” rungutnya.

Menurutnya, sekiranya dia bertindak mengikut sikap peniaga yang lain dengan menyewa tiga lot yang dimilikinya, dia boleh mendapat untung mudah.

“Saya boleh saja menyewakan setiap lot kepada pendatang asing dan mendapat wang mudah RM7,500 sebulan.

“Tapi, saya mahu jadi usahawan tulen dan bukan Ali Baba. Namun, macamana nak bersaing kalau dikelilingi peniaga warga asing yang menawarkan harga jauh lebih murah?”

Itu dilema di sekitar Jalan Haji Taib.

Kompleks Pertama lokasi peniaga asing

Apabila PKP Pemulihan diumumkan pada 10 Jun dan aktiviti perniagaan dibenarkan secara bersyarat, ramai peniaga kembali membuka premis.

Semuanya secara perlahan-lahan dan berperingkat. Pada awal Julai, aktiviti ekonomi berjalan pantas sejajar dengan sifat agresif peniaga untuk mencari untung setelah 11 minggu perniagaan ditutup.

Pada masa sama di Kompleks Pertama Kompleks, premis perniagaan milik lot Bumiputera kini dipenuhi dengan peniaga warga asing.

Sekali lagi, dengan penyamaran yang sama; mereka kelihatan seperti pekerja.

Namun bukan rahsia, 30% lot perniagaan yang kebanyakan milik Bumiputera disewakan kepada warga asing.

Sekali lagi timbul persoalan: sejak bila permit pekerja asing sebagai pembantu kedai dan tukang jahit diberikan?

“Susah nak cakap sebab negara kita sentiasa ‘walhasil balik asal’ dan semua penguatkuasaan undang-undang ibarat menuang air di daun keladi,” kata bekas tukang jahit yang kehilangan kerja.

“Mereka pendatang asing menyewa perniagaan milik bos lama saya dan membawa warga asing sebagai tukang jahit,” katanya.

Selepas membaca artikel ini, anda boleh saja ke Pertama Kompleks. Lihat buktinya secara meluas dan terbuka.

Sama ada kedai telefon, kedai jahit, kedai pakaian dan jualan aksesori – ia dipenuhi peniaga pendatang asing.

Namun, timbul persoalan besar: apakah pihak berkuasa akan mendiamkan diri dengan alasan tiada bukti mengatakan wujud penyelewengan lesen perniagaan?

“Sampai bila kita nak biarkan keadaan ini berlaku?,” tanya peniaga Bumiputera yang kurang senang dengan kebanjiran peniaga asing.

“Kalau kita terus membiarkannya dan menganggap sukar untuk membuktikan penyelewengan dan percaya pendatang asing di sini hanya pekerja, isu ini akan berterusan,” rungutnya.

Malah katanya, jika dibiarkan dalam tempoh dua tahun, Kompleks Pertama akan dikuasai peniaga warga asing.

Sebagai pelanggan yang lebih tiga dekad menjadikan Kompleks sebagai destinasi utama untuk membeli-belah, saya melihat dengan jelas dan terbuka semua perubahan ini.

Kompleks Pertama sedang berubah menjadi kompleks perniagaan warga asing. – 9 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen