ANGKA kematian akibat Covid-19 di Brazil semalam melepasi 100,000 kes dengan tiga juta kes jangkitan, menurut jumlah terbaru dari Kementerian Kesihatan.
Dengan 100,447 kematian dan 3,012,412 kes yang disahkan, Amerika Selatan yang berjumlah 212 juta orang menjadi negara kedua terjejas akibat wabak global berkenaan selepas Amerika Syarikat.
Kementerian Kesihatan melaporkan 905 kematian baharu dalam 24 jam terakhir dengan 49,970 kes baharu.
Tetapi pakar berkata jumlah jangkitan mungkin meningkat sehingga enam kali ganda kerana ujian saringan yang tidak mencukupi.
Brazil menyaksikan 478 kematian per juta orang, angka yang setara dengan Amerika Syarikat (487), tetapi lebih rendah dari Sepanyol (609) atau Itali (583).
Speaker Senat Davi Alcolumbre mengumumkan empat hari berkabung di Kongres untuk memberi penghormatan kepada 100,000 mangsa virus berkenaan di negara itu.
Wabak koronavirus di Brazil tidak menunjukkan tanda-tanda menurun apabila ia kini mula memasuki bulan keenam.
Kes Covid-19 yang pertama disahkan di negara ini dikenal pasti di Sao Paulo pada 26 Februari dengan kematian pertama pada 12 Mac. – AFP, 9 Ogos, 2020.
Komen