JUALAN kereta meningkat sekali ganda dari 22,000 unit kepada 44,000 pada Jun sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan walaupun hanya sedikit diskaun ditawarkan, kata pedagang.
Diskaun itu ditawarkan kepada pengguna selepas kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan pengurangan cukai jualan antara 50% hingga 100%.
Ia sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi Penjana yang diumumkan untuk membantu industri automotif bagi meningkatkan semula ekonomi.
Pengecualian cukai 50% itu untuk kenderaan penumpang import (CBU) dan pengecualian 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi pembelian antara 15 Jun hingga 31 Disember.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Aishah Ahmad berkata pengecualian itu hanya menyumbang kepada pengurangan keseluruhan antara 2% hingga 6% dari keseluruhan harga kereta.
“Lagi mahal harga kereta, lagi jimat.
“Tapi apa pun kami persatuan bersyukur dengan insentif yang diberikan ini pun sudah cukup membantu. Kalau dulu orang tak nak datang ke bilik pameran, sekarang ini sudah ada,” katanya.
Tambahnya insentif itu membantu meningkatkan jualan kereta kepada 44,000 unit pada Jun berbanding hanya 22,000 pada Mei.
Beliau juga menjangka industri automotif negara memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih sepenuhnya.
Seorang jurujual kereta, Ahmad pula menjelaskan pengecuailian tersebut tidak banyak kerana tidak meliputi duti import dan eksais yang menyumbang kepada harga kereta.
Beliau memberi contoh, pengurangan harga kereta Proton Iriz 1.3 eksekutif yang dijual pada harga RM46,185.12 hanyalah RM600.
“Jadi ikut pada harga kereta biasanya kereta yang yang di bawah 50,000 tidak ada banyak penurunan dari segi harga,” katanya.
Katanya, diskaun itu lebih kurang sama dengan penurunan harga ketika kerajaan mengumumkan kadar cukai 0% sewaktu peralihan cukai pada 2018 atau ketika syarikat menawarkan promosi harga.
Peralihan cukai itu merujuk kepada tempoh untuk menguatkuasa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Presiden Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Pekema Zainuddin Abd Rahman pula berkata pengecualian cukai jualan hanya memanfaatkan kereta tempatan.
Beliau berkata hanya pengecualian 50% bagi kereta import itu pula hanya melibatkan antara RM1,500 ke RM6,000 mengikut harga kereta.
“Bagi kita caj pengecualian itu tidak membuatkan harga kereta turun sangat.
“Yang kita minta lain sebenarnya, insentif 50% potongan harga untuk semua caj duti. Tapi apa pun kita masih berunding dengan kerajaan mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau bimbang pasaran kereta import terjejas teruk disebabkan Covid-19 biarpun orang ramai sudah mula menunjukkan minat untuk membeli kereta.
“Memang sekarang orang dah mula beli kereta tapi susahlah untuk kereta import sebab kita harga import biasa dalam RM150,000 hingga ke RM1 juta, nak turun harga tidak boleh.
“Dan sekarang pula halangan syarat bank ketat kena letak deposit (pembelian untuk memohon pinjaman jual beli kenderaan), jadi memang sukarlah untuk kita,” katanya.
Beliau juga berkata tidak ada isu pengecualian caj jualan menyebabkan pengguna tidak berminat membeli kereta terpakai.
“Tidak timbul perkara itu sebab caj pengecualian pun tidak sebabkan harga murah sangat,” katanya. – 9 Ogos, 2020.
Komen