MUHYIDDIN Yassin adalah unsur penyatuan dalam Perikatan Nasional yang mungkin memiliki peluang lebih baik untuk menang pilihan raya akan datang jika bertanding sebagai sebuah gabungan politik, kata seorang ahli akademik hari ini.
Prof Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata perdana menteri dan presiden Bersatu itu popular dan dilihat sebagai orang terbaik untuk memimpin dan beliau bukan daripada Umno.
Kejayaan pentadbirannya dalam menangani pandemik Covid-19 juga turut menambah populariti beliau, malah pemimpin Bersatu itu lebih popular daripada parti Bersatu sendiri, kata Azizuddin.
“Muhyiddin sangat popular dan ramai yang berpendapat bahawa dia harus memimpin gabungan itu. Mengapa perlu seseorang daripada Umno?” katanya dalam webinar bertajuk Covid-19 dan Kebuntuan Politik Malaysia.
“Bahkan PAS juga turut menerima idea Muhyiddin Yassin untuk memimpin mereka dalam pilihan raya berikutnya.
“Muhyiddin dapat dilihat sebagai kekuatan yang menyatukan dalam PN,” tambahnya.
Beliau berkata perkara ini harus dibincangkan di kalangan anggota PN dan gabungan itu memiliki peluang lebih baik untuk memenangi pilihan raya akan datang sekiranya mereka berkompromi dan bekerjasama.
“PN tahu bahawa mereka boleh memenangi pilihan raya tetapi satu-satunya kebimbangan mereka adalah pengaturan yang harus mereka buat.”
Beliau menambah bahawa ada “perdebatan” yang sedang berlangsung dalam gabungan itu berhubung pengaturan politik, khususnya dalam Umno.
Katanya lagi, terdapat dua puak dalam Umno, satu memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu sementara yang lain mahu meninggalkan PN dan hanya bekerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional.
Bagaimanapun, Muafakat Nasional tidak boleh memenangi pilihan raya bersendirian, kata Azizuddin.
“Bersatu mahu menjadi dominan tetapi Umno kini memiliki kekuatan sebagai parti dominan,” katanya.
Namun beliau berkata bahawa walaupun Umno mungkin tidak mahu menjadi anggota PN, itu tidak bermakna kedua-dua parti tidak boleh bekerjasama.
Berhubung kumpulan yang diketuai bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, katanya, mereka mungkin akan tetap bersama Bersatu daripada terus membentuk parti baharu.
Pencatur utama
Azizuddin juga berkata bahawa parti baharu Dr Mahathir Mohamad yang diumumkan semalam boleh menjadi kekuatan ketiga yang boleh menjadi “kingmaker” dalam politik ketika ini.
Beliau menambah bahawa parti yang belum diumumkan namanya itu akan menjadi kekuatan ketiga seperti Gagasan Sejahtera, sebuah gabungan tidak rasmi parti-parti politik Islamis pembangkang yang dipimpin PAS pada pilihan raya sebelum ini.
Beliau berkata kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru antara parti bekas perdana menteri itu dan parti-parti Melayu dari Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.
“Sebagai parti terkuat ketiga, parti Dr Mahathir akan menjadi penentu dalam menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan,” katanya.
“Saya rasa itu adalah idea di sebalik penubuhan parti ini,” katanya sambil menambah bahawa beliau menjangkakan lebih banyak maklumat mengenai parti baharu itu.
Beliau berkata perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini dan rakan-rakannya tidak boleh diabaikan kerana mereka mendapat sokongan besar daripada komuniti perniagaan.
Sebagai pemimpin berpengalaman, pemain politik berusia 95 tahun itu juga akan memiliki banyak strategi bagi menembusi kancah politik, katanya.
Dr Mahathir semalam mengumumkan penubuhan parti Melayu baharu untuk mengambil alih pemerintahan Perikatan Nasional ketika ini.
Nama parti itu bagaimanapun belum diputuskan dan mereka akan menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan, katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut berkata bahawa parti baharu tersebut adalah sebuah keperluan kerana semua parti Melayu lain telah menyimpang daripada perjuangan asal. – 8 Ogos, 2020.
Komen