DUA puluh individu disahkan positif Covid-19 sejak pulang dari luar negara 24 Julai lalu, kata Menteri kanan Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, daripada 24 Julai hingga 7 Ogos, sejumlah 7,364 individu kembali dari luar negara menerusi sempadan antarabangsa.
“20 individu terbabit dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
“Selebihnya ditempatkan di 30 hotel dan Institut Latihan Awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, polis menahan 180 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Daripada jumlah itu, 16 direman manakala 164 individu dikenakan kompaun kerana berada di tempat sesak tanpa penjarakan fizikal.
Ismail Sabri berkata polis mengadakan 61 sekatan jalan raya dan memeriksa 31,184 kenderaan dalam usaha untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin.
“Polis berjaya menahan tiga warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara ini secara haram dan agensi penguatkuasaan akan terus memperketatkan kawalan sempadan.” – 8 Ogos, 2020
Komen