Kadar pulih Covid-19 Malaysia antara tertinggi di dunia, kata Muhyiddin


Ragananthini Vethasalam

Pelaksanaan PKP sebenarnya bukan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya amat diperlukan bagi memutuskan rantaian Covid-19, kata Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020.

MALAYSIA berjaya merekod kadar pemulihan Covid-19 antara yang tertinggi di dunia susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setakat semalam, sebanyak 96.3% atau 8,728 daripada 9,063 pesakit Covid-19 telah disahkan sembuh, tambah beliau.

“Pada awal pelaksanaan PKP saya kerap menyeru agar rakyat Malaysia duduk di rumah. Kesannya dihadapi oleh semua pihak. 

“Antara lain pergerakan yang terhad, perniagaan terjejas. Anak-anak muda dan siswa yang tidak dapat ke sekolah atau universiti dan terpaksa beralih kepada pembelajaran secara maya,” kata Muhyiddin pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh di Muar, hari ini.

“Pelaksanaan PKP sebenarnya bukan untuk menyusahkan rakyat dalam menghadapi kehidupan harian kita.

“Sebaliknya langkah drastik ini amat diperlukan bagi memutuskan rantaian Covid-19 setelah mengambil kira banyak aspek demi untuk kesejahteraan rakyat.

“Hasilnya dapat kita lihat pada hari ini Malaysia berjaya mengurangkan jangkitan baru dan pesakit aktif di hospital,” jelas perdana menteri.

Muhyiddin mengingatkan pelaksaan semula PKP akan memberi kesan buruk kepada ekonomi, dan sekali lagi menyeru rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Saya pasti saudara dan saudari tidak mahu kerajaan melaksanakan semula PKP secara menyeluruh, sebagaimana yang mula-mula kita laksanakan dahulu.

“Ini tentunya akan menyebabkan banyak masalah lain termasuklah mengganggu usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan RM295 bilion yang diagihkan menerusi pakej rangsangan ekonomi kepada golongan yang memerlukan.

“Kalau kita kembali semula, dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal, maka ekonomi kita pastinya akan menghadapi kesan yang amat buruk dan kesan itu akan dapat sama-sama dirasakan rakyat jelata.”

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu dan sektor ekonomi dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat mulai 4 Mei yang berakhir pada 9 Jun.

Malaysia kini melalui perintah kawalan pergerakan pemulihan yang dijadul tamat pada 31 Ogos ini. – 8 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen