Malaysia sedia bantu dalam usaha bangunkan vaksin Covid-19 


Ragananthini Vethasalam

Terdapat beberapa negara yang berusaha membangunkan vaksin bagi merawat wabak itu.– Gambar EPA, 8 Ogos, 2020

MALAYSIA sedia untuk memberi sumbangan dalam usaha antarabangsa oleh beberapa negara untuk membangunkan vaksin Covid -19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan sentiasa memantau perkembangan terbaharu pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan terdapat beberapa negara yang berusaha membangunkan vaksin ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh hari ini.

Beliau berkata usaha itu akan mengambil masa untuk membuahkan hasil dan ia mungkin berterusan sehingga awal tahun depan.

“Mengenai perkara itu, Malaysia sedia membantu usaha antarabangsa untuk membangunkan vaksin Covid-19 menerusi pasukan petugas kolaborasi antara kementerian yang ditubuhkan April lalu,” tambahnya.

Menurutnya, ia akan memberi peluang untuk mewujudkan kerjasama strategik antara negara lain dalam usaha untuk menyelidik dan membangunkan antidot dan ubatan bagi koronavirus.

Menurut laporan yang merujuk rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 165 calon vaksin daripada pelbagai bahagian dunia yang mula menjalankan percubaan untuk vaksin.

Malaysia juga merupakan sebahagian daripada Solidariti Percubaan WHO bagi menguji beberapa ubat-ubatan bagi merawat Covid-19. – 8 Ogos, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen