PEMAJU di pusat perangian Bukit Fraser perlu tunjukkan Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) sebelum meneruskan kerja-kerja pembinaan, kata kumpulan aktivis alam sekitar kepada The Malaysian Insight.
Persatuan Alam dan Warisan Bukit Fraser (PAWBF) berkata, pihak pemaju Ikhasas Group, masih belum menunjukkan laporan EIA.
Pengerusi PAWBF Nik Jassmin Hew memberitahu The Malaysian Insight pusat peranginan itu mungkin memberi nilai tambah kepada, namun bangunan 14 tingkat dengan skala dan reka bentuk yang tidak sesuai dengan lokasi adalah sangat membimbangkan.
“Tambahan pula, kebenaran merancang untuk projek ini diluluskan tanpa laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar,” kata Hew.
PAWBF turut mempersoalkan sama ada pemaju sudah mengkaji permukaan tanah di kawasan tanah tinggi tu sebelum membuat keputusan untuk meneruskan kerja pembinaan.
“Mereka bina bangunan pusat peranginan 14 tingkat namun adakah mereka tahu risikonya. Tanah runtuh memang berlaku di sini.
“Risikonya adalah besar dan sehingga hari ini kami penduduk tempatan di sini tidak melihat laporan EIA,” kata seorang ahli PAWBF yang tidak mahu namanya disiarkan.
The Malaysian Insight telah menghubungi pihak pemaju namun jurucakapnya berkata syarikat itu akan keluarkan kenyataan minggu depan.
Hew berkata apa yang menjadikan Bukit Fraser unik adalah alam semulajadi dan warisannya, dan menambah tanpa semua ini Bukit Fraser bukanlah Bukit Fraser.

Bukit Fraser terkenal sebagai lokasi untuk memerhati burung terbaik di dunia. Terdapat kira-kira 270 spesis burung di kawasan tanah tinggi itu.
“Kami menyokong dan menggalakkan usaha untuk menak taraf Bukit Fraser sejajar dengan alam semulajadi tanah tinggi dan ekopelancongan,” katanya.
“Namun isu alam sekitar dan perkara lain perlu diberi perhatian sebelum projek ini diteruskan.”
Dua minggu lalu, pemaju swasta merobohkan rumah gaya Inggeris yang dikenali sebagai Maybank Lodge dan Jelai Resort.
“Rumah berkenaan merupakan antara lokasi pertama bagi penduduk tempatan luangkan masa bersama keluarga dan rakan. Saya masih ingat 20 tahun lalu, saya pernah ke sana untuk minum teh.
“Kemudian saya pergi ke kawasan memerhati burung di sebelah rumah itu. Warga asing juga datang ke sini untuk memerhati burung dan kawasan itu merupakan tempat kami bersantai,” kata seorang penduduk yang juga pemerhati burung.
Bagaimanapun, selepas perobohan dua bangunan berkenaan, kawasan memerhati burung itu sudah tiada.
“Saya pernah ke Amerika Syarikat, Taiwan dan United Kingdom dan banyak lagi tempat lain untuk memerhati burung namun di sini adalah yang terbaik. Kini setelah sekian lama kawasan itu tiada lagi,” katanya.
Seorang lagi penduduk berusia 40-an menyatakan pembinaan itu akan merosakkan kawasan tasik yang popular dalam kalangan pelancong.
“Bersebelahan tapak pembinaan itu adalah Allan Water. Sebuah tasik yang dikunjungi ramai pelancong. Terdapat banyak ikan di tasik itu dan ada aktiviti mendayung sampan,” katanya.
“Sisa binaan daripada tapak pembinaan itu boleh masuk ke tasik dan mencemarkannya. Bunyi bising daripada pembinaan itu juga akan menyeabkan pelancong tidak datang.” – 8 Ogos, 2020.
Komen