PENGUNDI di Segamat, yang Ahli Parlimennya Edmund Santhara mengalih sokongan kepada Perikatan Nasional pada hujung Februari lalu, tawar hati dengan proses pilihan raya apabila wakil rakyat yang mereka pilih dalam pilihan raya umum yang lali melompat parti sesuka hati.
Mereka yang ditemui oleh The Malaysian Insight berpendapat sistem pengundian seperti dipermainkan oleh wakil rakyat, termasuk menjejaskan sistem berparti.
“Kalau nak lompat-lompat baik Malaysia ini tidak perlu ada parti politik. Biar ahli Parlimen semua bertanding sebagai calon bebas,” kata pemandu perkhidmatan tumpang kereta Ibrahim Shah Bidin.
Ibrahim, 54, adalah antara lebih 55,000 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Segamat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengundi lain yang ditemui juga berkata Santhara akan “dikuburkan” di Segamat jika bertanding sekali lagi untuk mempertahankan kerusi kawasan itu, selepas terlibat dalam gerakan politik menjatuhkan Pakatan Harapan pada hujung Februari lalu.
Wakil rakyat penggal pertama itu bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight beliau sudah berkhidmat dengan baik sejak lebih dua tahun lalu, dan mahu masa depan politiknya dinilai kerana rekod perkhidmatan.
Santhara adalah antara sembilan ahli Parlimen PKR yang keluar parti untuk menyokong timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin, yang dipecat kerana mengkhianati perjuangan parti.
Beberapa pengundi di Segamat memberitahu The Malaysian Insight, tindakan Santhara keluar PKR untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) menunjukkan beliau bukan ahli politik yang berintegriti.
Saiful Anwar Zahari, 30, berkata Santhara tidak akan ada peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Segamat jika dicalonkan semula.
“Tidak ada jati diri, dia cuma ikut pihak mana yang dia rasa kuat. Bila pemimpin kita goyang, sebagai rakyat, itu akan berikan kesan kepada kita.
“Kalau dia bertanding semula, boleh jadi dia akan lompat lagi. Saya tidak rasa dia akan bertanding semula di Segamat,” katanya, ketika ditemui di Segamat, baru-baru ini.
Sebelum menang di Segamat dalam PRU14 pada Mei 2018, Santhara pernah bertanding jadi calon bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada PRU13. Beliau bagaimanapun hilang deposit setelah meraih hanya 999 undi, kurang satu perlapan daripada undi keseluruhan.
Selepas keluar PKR dan menyokong PN, ahli perniagaan yang menceburi politik itu dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menyesal kempen PRU14
Seorang pemimpin PKR setempat yang enggan dinamakan memberitahu The Malaysian Insight, jentera parti di Segamat menyesal bertungkus lumus membantu Santhara menang.
“Kita bawa dia ke Segamat… tiga tahun kita kenalkan Segamat kepada dia sebab dia bukan orang tempatan. Bila dah menang dia buat macam itu. Jenuh kami nak menjawab kepada masyarakat setempat.
“Kali ini memang dia tiada harapan di Segamat. Kalau dia berani lagi bertanding di sini, kami akan ‘kuburkan’ Santhara di Segamat,” katanya kepada The Malaysian Insight dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Beliau juga menjelaskan semasa PRU14, Santhara tidak dapat undi daripada pengundi Melayu, dan kerana itu, masa depannya akan sukar sekiranya sekali lagi bertanding di situ.
“Dia menang atas undi bukan Melayu. Kenapa dia berani kerjasama dengan PN yang ada Umno?
“Kali ini kalau dia berani bertanding lagi, kalau berlaku pilihan raya mengejut, kita doakan dia tidak dapat pencen wakil rakyat,” katanya, lagi.
Dalam PRU14, Santhara mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 5,476 undi atau bersamaan lebih kurang 12%. Beliau menang dengan mengumpul 53.09% undi.
Calon BN Subramaniam Sathasivam yang juga bekas presiden MIC kalah setelah merosot hampir 11% undi, berbanding yang diraihnya dalam pilihan raya umum 2013.
Segamat kerusi Bersatu
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Santhara berkata Segamat akan ditandingi oleh Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya telah menjadi ahli PPBM. Borang telah diserahkan kepada setiausaha agung parti Hamzah Zainuddin. Kerusi Parlimen Segamat milik PPBM,” katanya, merujuk akronim Bersatu atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
“Presiden (Bersatu) akan memilih calon yang layak dan yang boleh memang, serta berikan khidmat yang terbaik kepada warga Segamat,” tambahnya.
Santhara menyerahkan borang permohonan menyertai Bersatu kepada Hamzah pada Khamis. Sekiranya diterima, beliau akan jadi ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang pertama dalam parti pimpinan Muhyiddin.
Perlembagaan Bersatu menerima bukan Melayu dan bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu. Ahli bersekutu bagaimanapun tidak menikmati hak memegang jawatan dan mengundi yang hanya ada pada ahli biasa iaitu Melayu dan Bumiputera.

Dalam pada itu, pemimpin akar umbi PKR yang sama juga mendakwa selepas menang pilihan raya, Santhara tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat di kawasan parlimennya.
“Tiada program parti lepas menang, tiga bulan selepas pilihan raya baru turun kawasan. Kami buat program parti atas inisiatif dan belanja dana sendiri.
“Segala aktiviti di Parlimen, dia hanya hantar wakil. Saya sendiri beberapa kali mewakili beliau dalam program-program rasmi kerajaan.
“Menteri besar turun Segamat pun dia tidak datang. Tiada khidmat dia di Segamat, setakat nama ahli Parlimen sahaja,” katanya lagi.
Santhara bagaimanapun menafikan beliau tidak berkhidmat kepada rakyat. Beliau juga menafikan tindakannya beralih sokongan menyebabkan kualitinya sebagai wakil rakyat terjejas.
Memetik kata-kata terkenal bekas presiden China Deng Xiaoping, Santhara berkata:
“Kucing putih atau kucing hitam tidak penting. Bagi mereka yang mengundi saya, yang diperlukan ialah kucing yang boleh menangkap tikus.
“Sebagai Ahli Parlimen saya berkhidmat untuk semua warga Segamat.
“Segamat memerlukan ahli Parlimen yang berkhidmat untuk rakyat. Rekod perkhidmatan saya di Segamat tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Kerusi tradisi BN
Segamat adalah kerusi tradisi BN yang diwakili oleh parti itu sejak kawasan parlimen itu dibentuk pada 1974. Hanya dalam PRU14 pada 2018 BN kalah di Segamat.
Dalam sejarah 10 penggal Parlimen, kawasan itu diwakili hanya oleh tiga ahli Parlimen iaitu seorang dari MCA dan dua orang dari MIC.
Bekas presiden MCA Lee San Choon jadi ahli Parlimen Segamat selama dua penggal antara 1974 hingga 1982. Bekas timbalan presiden MIC Subramananiam Sinniah dan bekas presiden Subramaniam Sathasivam masing-masing mewakili kerusi itu antara 1982 hingga 2004, dan 2004 hingga 2018.
Ketua Pemuda Umno Cawangan Jementah Barat, Khairul Shafiee Daud yakin BN akan menuntut hak bertanding di kerusi tradisinya itu walaupun sekarang bersama dalam pakatan politik PN.
“Siapa pun calon BN jentera kita bersiap sedia. Santhara ini wakil rakyat sementara sahaja. Dia bukan wakil BN.
“Tetapi kalau dia sertai BN, dan dipilih bertanding semula kita tak boleh buat apa, sebagai jentera kita kena kerja jugalah untuk dia,” tambah Khairul.
Pada Jun lalu, Presiden MIC SA Vigneswaran dipetik berkata MIC mahu tetap bertanding di semua sembilan kerusi parlimen yang ditandinginya dalam PRU14, termasuk Segamat.
Dalam pada itu, Khairul berkata jentera akar umbi berharap pucuk pimpinan parti tidak akan melantik wakil rakyat lompat parti dalam kerajaan kerana khuatir pisang akan berbuah dua kali.
“Orang lompat-lompat ini tidak ada integriti. Kalau Muafakat Nasional memerintah, saya harap mereka ini jangan diberi jawatan… bagus juga kalau ada akta anti lompat parti,” katanya, merujuk kerjasama politik Umno dan PAS. – 8 Ogos, 2020.
Komen