Tengoklah jika dapat kerjasama dengan parti Dr Mahathir, kata Anwar


Diyana Ibrahim

Pakatan Harapan akan pertimbang jika parti baharu Dr Mahathir Mohamad akan memohon untuk bekerjasama, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Ogos, 2020.

PAKATAN Harapan akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada dapat bekerjasama dengan parti baharu yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Beliau berkata PH hanya membentuk kerjasama dengan sekutunya untuk Pilihan Raya Kecil DUN Slim namun masih belum membincangkan mengenai kerjasama dengan parti Dr Mahathir.

“Ya memang mereka kata mereka parti bebas. Tapi untuk PRK DUN Slim kita ada kerjasama dengan PH Plus.

“Jadi kita tengok lah apa kenyataan selepas ini,” katanya kepada media selepas selepas program Jelajah Presiden ke Selangor di Shah Alam.

Anwar juga berkata PH akan mempertimbangkan sekiranya akan menerima kerjasama dengan parti baharu itu.

“Sekiranya mereka minta (kerjasama) kita akan pertimbangkan dulu,” katanya.

Ia ekoran kenyataan Dr Mahathir petang ini bahawa parti baharunya dijangka akan berdepan masalah dengan PKR.

Bekas perdana menteri pada petang ini mengumumkan parti Melayu baharu itu ditubuhkan untuk menentang kerajaan Perikatan Nasional.

Namun katanya nama parti itu masih belum diputuskan dan akan menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata parti itu akan bersikap neutral dan tidak terikat dengan mana-mana parti sama ada Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan.

Bagaimanapun ia berpendirian akan menyokong dasar asal parti Bersatu, yang ditubuhkan untuk menentang kerajaan kleptokrat.

Menurut Dr Mahathir, parti itu ditubuhkan untuk membolehkan beliau bergerak bersama beberapa ahli Parlimen yang dipecat dari parti Bersatu.

Ia susulan keputusan mahkamah menolak saman ke atas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin atas pemecatan tersebut. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen