PAS mungkir janji untuk tidak bertanding pilihan raya Sarawak 


Desmond Davidson

PAS Sarawak dilihat mungkir janji untuk tidak bertanding pada pilihan raya Sarawak.

Parti Islam itu dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya negeri ke-12 dan akan bersedia sekiranya pilihan raya umum awal diadakan.

Pada 2 Julai, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi jaminan pada mesyuarat pemimpin 12 parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya negeri.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee hari ini berkata, parti itu sudah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi mereka.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kerusi berkenaan.

Pada pilihan raya 2016 parti itu bertanding di 11 kerusi yang kebanyakannya kerusi majoriti Melayu namun kebanyakannya tewas.

Hampir semua calonnya termasuk Jofri yang bertanding di kerusi majoriti Cina di Pujut, Miri, hilang deposit.

Jofri hanya mendapat 413 undi daripada 17,098.

Kerusi majoriti Melayu lain adalah Lambir, Jepak, Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Santubong dan di dua kerusi majoriti Dayak, Samalaju dan Kakus. – 7 Ogos, 2020
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen