MALAYSIA melaporkan 25 kes baharu Covid-19, 16 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan sejak 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
12 daripada 16 kes jangkitan tempatan adalah daripada Kluster Sivagangga yang kini sudah merebak di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Semalam, Dr Noor Hisham memberi amaran yang Kluster Sivagangga yang meledak di Kedah mungkin boleh dikaitkan dengan genom Covid-19 yang merebak pantas di Mesir dan Pakistan.
Kluster yang dikesan bermula dari kes index pemilik restoran nasi kandar di Jitra itu kini “merebak dengan pantas” berbanding jangkitan kluster lain di negara ini.
Sehingga sekarang, terdapat 43 kes positif dikesan daripada kluster itu, kata Dr Noor Hisham.
Sementara itu, 15 pesakit lagi sudah pulih dan tiada kematian dilaporkan hari ini.
Sembilan kes import yang dilaporkan hari ini pula melibatkan lapan warga Malaysia dan seorang warga asing.
Pecahan pesakit kes import mengikut negara adalah Filipina (4), the UAE (1), Turki (1), Djibouti (1), Australia (1) dan Yaman (1).
Manakala, daripada 16 kes jangkitan tempatan, satu kes melibatkan pendatang asing tanpa izin yang dikesan positif di Depot Imigresen Johor.
Setakat semalam, 3,246 orang berkaitan Kluster Sivagangga disaring, daripada jumlah itu 2,320 disahkan negatif dan 883 masih menunggu keputusan makmal.
Pihak berkuasa juga sudah mengenal pasti 1,884 kontak rapat di Perlis dan Kedah yang akan disaring.
Pada masa sekarang, Kluster Sivagangga merekodkan 31 kes positif di Kedah, 11 di Perlis dan satu kes di Pulau Pinang.
Sepuluh kes baharu di Perlis hari ini adalah ahli keluarga kes 9002, yang dikesan di negeri itu pada Selasa lepas.
Kesemua 11 kes di Perlis sekarang dikaitkan dengan Kluster Sivagangga.
Terdapat dua pesakit Covid-19 sedang dirawat dalam ICU, seorang daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.
Jumlah kes Covid-19 di Malaysia kini adalah 9,063, dengan 210 kes aktif dan 8,728 lagi sudah pulih. – 7 Ogos, 2020.
Komen