Covid-19: Jais arah surau di Seksyen 23 Shah Alam tutup


Seorang jemaah surau berkenaan mempunyai kontak rapat pesakit Covid-19 dari kluster Sivagangga di Kedah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

SURAU Al-Jannah di Seksyen 23 di Shah Alam, Selangor diarah tutup oleh pihak berkuasa agama negeri selepas seorang jemaahnya mempunyai kontak rapat pesakit Covid-19 dari kluster Sivagangga di Kedah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan turut memaklumkan kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) yang beroperasi di surau itu dihentikan berkuat kuasa serta merta.

“Surau itu hanya boleh beroperasi semula selepas mendapat kebenaran Jais,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shahzihan, surau itu ditutup sebagai langkah pencegahan awal mengekang penularan wabak.

Dengan penutupan itu, semua operasi surau termasuk solat fardu Jumaat, solat fardu lima waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan yang lain dihentikan serta merta.

“Hanya tiga orang petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardu di surau berkenaan,” katanya.

Jais turut meminta pihak jawatankuasa surau memastikan jemaah berkenaan menjalani saringan Covid-19 dan menjalankan proses sanitasi di kawasan surau dan sekolah Kafa.

The Malaysian Insight difahamkan pihak persatuan penduduk turut menutup taman permainan di kawasan berkenaan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan kluster Sivagangga mungkin boleh dikaitkan dengan genom virus yang dikesan di Mesir dan Pakistan yang disahkan sebagai penyebar utama Covid-19.

Genom itu mempunyai kadar penularan yang cepat berbanding variasi Covid-19 dari kluster yang lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hari ini, kluster yang sama dikesan merebak ke Perlis.

Sebelum ini, penularan Covid-19 dari kluster baharu itu menyebabkan lebih 7,000 penduduk di empat mukim di Kedah terjejas.

Empat mukim dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 27 hari sehingga 30 Ogos.

Kawasan yang terlibat terletak dalam radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu); Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah,Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

Sebanyak 25 kes baharu Covid-19, 16 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan direkodkan sejak 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dua belas daripada enam belas kes jangkitan tempatan adalah daripada Kluster Sivagangga yang kini sudah merebak di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen