Dr Mahathir tubuh parti Melayu yang baharu 


Kamles Kumar

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti Melayu baharu untuk menentang kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun nama parti itu masih belum diputuskan dan akan menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan, katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary hari ini.

Pemimpin berusia 95 tahun itu berkata, parti baharu ini perlu kerana semua parti Melayu lain sudah tersasar daripada perjuangan asal.

“Kami menubuhkan parti baharu. Parti ini akan perjuangkan nilai perjuangan Bersatu ketika ditubuhkan. Kami akan perangi rasuah tanpa henti,” tambah Dr Mahathir.

Turut hadir pada sidang media itu, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik, bekas timbalan menteri kewangan Amiruddin Hamzah dan bekas timbalan menteri luar Marzuki Yahya.

Dr Mahathir juga berkata, parti itu akan neutral dan tidak terikat dengan mana-mana parti sama ada Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan.

Tambah ahli Parlimen Langkawi, kumpulan berkenaan menghadapi masalah dengan PH.

“Kami hadapi halangan. Kami mahu bekerjasama dengan PH tapi kami ada masalah dengan parti terbesar dalam PH,” kata Dr Mahathir merujuk kepada PKR.

Dr Mahathir akan menjadi pengerusi manakala anaknya Mukhriz dijangka akan dilantik sebagai presiden parti.

“Parti ini akan bersifat inklusif dan sederhana dan akan tunjukkan kepada kaum lain bahawa orang Melayu tidak khianat, jujur dan tidak akan melepaskan kerjasama yang jujur dan berprinsip.”

Penubuhan parti baharu itu adalah susulan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membatalkan saman yang difailkan Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam parti itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Rohani Ismail memutuskan bahawa Dr Mahathir dan lima lagi plaintif tidak mempunyai lokus standi untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadap defendan.

Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada 24 Februari, iaitu hari yang sama beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, namun peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti itu menjadi pertikaian dalaman.

Bersatu ditubuhkan pada 6 September, 2016 oleh Dr Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan Syed Saddiq untuk menentang kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno pada pilihan raya umum 2018. Ia kemudiannya menyertai Pakatan Harapan yang membawa kepada kemenangan pada pilihan raya itu sekali gus menawan Putrajaya.

Pada 24 Februari, Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada PH, menyebabkan kerajaan itu tumbang, dan bekerjasama dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional. – 7 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen