KES jangkitan Covid-19 di India melepasi angka 2 juta hari ini, selepas mencatat lebih 60,000 kes dalam sehari.
India satu-satunya negara Asia merekod angka tersebut, mengikuti di belakang Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.
Kadar penularan wabak di negara paling padat penduduk di dunia itu juga dilaporkan semakin meningkat.
India melaporkan sejuta kes pertama tiga minggu lalu.
Angka rasmi menunjukkan negara itu merekod 2.03 juta jangkitan dengan 41,585 kematian.
Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi pada hujung Mac lalu melaksanakan perintah berkurung paling ketat di dunia.
Sekatan bagaimanapun dilonggarkan secara berperingkat susulan berpuluh juta pekerja asing hilang pekerjaan dalam tempoh 24 jam.
Masih ada negeri dan bandar yang mengenakan perintah berkurung termasuk Banglore, Bihar dan sebahagian Tamil Nadu di sebelah selatan.
Jika lonjakan kes sebelum ini dilaporkan di New Delhi dan Mumbai, banyak bandar kecil kawasan luar bandar mula menyaksikan peningkatan mendadak.
India menjalankan ujian saringan ke atas 16,500 orang per sejuta penduduk, berbanding 190,000 di AS, menurut data dikeluarkan Worldometer.
Berdasarkan hasil kajian ke atas antibodi Covid-19 minggu lalu, kira-kira 57 peratus penduduk di Mumbai dijangkiti virus itu, melebihi jangkaan sebelum ini.
Penyelidikan serupa yang dijalankan pada bulan lalu mendapati satu perempat daripada jumlah penduduk New Delhi dijangkiti Covid-19, iaitu hampir 40 kali ganda data rasmi.
Pakar kesihatan juga berkata angka kematian juga mungkin jauh lebih tinggi daripada data rasmi. – AFP, 7 Ogos, 2020.
Komen