PILIHAN Raya Kecil Chini dan Slim akan menjadi kayu ukur untuk Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan ketika wabak Covid-19 masih berlaku, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kementerian sudah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya dan sudah mengujinya pada PRK Chini.
Kata Dr Noor Hisham lagi, kementerian berpuas hati dengan pelaksanaan SOP di Chini dan akan memantau penguatkuasaannya di PRK Slim dijadual berlangsung 29 Ogos ini.
“Dua PRK ini akan menjadi kayu ukur bagi kami melakukannya di pilihan raya lebih besar di Sabah,” katanya pada taklimat harian perkembangan Covid-19, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan SOP dan kementerian akan bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan ia dipatuhi.
PRN Sabah akan menyaksikan pertandingan di 73 kerusi negeri dan melibatkan sejumlah 1.2 juta pemilih berdaftar.
DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
SPR awal minggu ini berkata tarikh pilihan raya negeri itu akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi. – 6 Ogos, 2020.
Komen