Kluster Sivagangga mungkin penyebar besar Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam jangkitan baharu yang melibatkan generasi kedua kluster Sivagangga dikesan dalam 24 jam terakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

ADA kemungkinan kluster Sivagangga di Kedah menjadi penyebar terbesar Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan dalam sidang akhbar hari ini berkata enam jangkitan baharu yang melibatkan generasi kedua kluster berkenaan dikesan dalam 24 jam terakhir sebagai hasil pengesanan kes aktif.

Ini termasuk lima sekeluarga yang melakukan perjalanan ke salah satu kawasan di Kedah yang kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Punca jangkitan kini masih dalam siasatan.

Mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. 

“Kluster Sivagangga telah menyebar lebih cepat dari sembilan kluster di Sarawak dan yang lain,” kata dalam sidang media hari ini. 

Menurutnya, penyelidikan sedang dilakukan untuk mengetahui kemungkinan kita berdepan kluster G614 yang merupakan penyebar utama.

“Ada kemungkinan besar ini adalah kluster penyebar utama. Kita perlu melakukan ujian virus di makmal untuk melihat sama ada ia boleh dikaitkan dengan genom virus yang dikesan di Mesir dan Pakistan.

“Genom itu mempunyai kadar penularan yang sangat cepat berbanding variasi Covid-19 dari kluster yang lain,” katanya.

Strain G614 dari koronavirus dilaporkan lebih banyak menular pada kultur sel.

Bagaimanapun data klinikal menunjukkan bahawa varian tersebut tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

Sementara itu kluster Sivagangga dan gereja Ulu Tiram kini tersenarai di antara kumpulan sasaran.

Dalam kluster Sivagangga kementerian kini sedang memeriksa mereka yang pernah mengunjungi restoran tempat berlakunya jangkitan dan mereka yang terdedah dengan pesakit atau berada dalam radius kilometer dari lokasi jangkitan.

Kementerian juga memeriksa mereka yang disyaki ada kaitan dengan kluster berkenaan.

Sehingga tengah hari seramai 2,351 orang dalam kluster berkenaan sudah menjalani saringan koronavirus.

Seramai 30 diuji positif dan 1,617 negatif. Selebihnya 704 sedang menunggu keputusan ujian mereka.

Kluster Sivagangga berasal dari pemilik restoran yang melanggar perintah kuarantin di rumah. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen