Kerajaan tangani aduan kualiti makanan di pusat kuarantin, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata aduan yang disiarkan mengenai kualiti makanan di pusat kuarantin akan ditangani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

PUTRAJAYA akan menangani aduan mengenai kualiti makanan di hotel yang digunakan sebagai pusat kuarantin Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dibangkitkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), katanya pada sidang media hari ini.

“Nadma sudah mengambil tindakan. Mereka telah mengubah menu makanan berdasarkan aduan kualiti makanan yang buruk,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau ditanya mengenai aduan yang disiarkan di media sosial mengenai kualiti makanan yang rendah diberikan kepada mereka yang berada di pusat kuarantin.

Kerajaan mengenakan semula kuarantin mandatori ke atas semua individu yang memasuki Malaysia mulai 24 Julai selepas mendapati beberapa orang yang berada di bawah perintah pengawasan di rumah tidak mengikut arahan yang dikuatkuasakan.

Dari 24 Julai hingga 5 Ogos, seramai 6,473 individu sudah kembali ke Malaysia.

Mereka ditempatkan di 26 hotel dan lima institusi latihan awam kerajaan (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis.

Ismail Sabri berkata, 18 daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan setelah didapati positif Covid-19 di pintu masuk sempadan.

Beliau juga menambah bahawa Kementerian Kesihatan bersama polis melakukan 2,018 pemeriksaan semalam untuk memastikan pematuhan terhadap SOP kesihatan.

“Seorang individu telah didakwa. Polis juga mengambil tindakan terhadap 31 individu yang melanggar SOP kuarantin di rumah termasuk meninggalkan kawasan rumah.

“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen