SATU tinjauan tempatan menunjukkan lebih separuh responden - atau 58% - secara aktif mencari kerja baru dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan perubahan kerjaya dan ketidakpuasan hati terhadap gaji menjadi sebab utama bagi langkah tersebut.
Tinjauan “2020 Covid-19 Labour Pulse Survey” ditaja oleh Randstad, pemimpin global dalam industri perkhidmatan sumber manusia, yang membuat tinjauan terhadap 531 pekerja antara 26 Jun dan 5 Julai.
Daripada 58% responden yang ingin mencari pekerjaan baru, tinjauan mendapati 24% ingin mengubah kerjaya atau industri tempat mereka bekerja; 13% berkata kemahiran dan pengalaman mereka tidak lagi memenuhi keperluan pekerjaan sekarang sementara 15% diberhentikan.
“Pandemik Covid-19 menyaksikan banyak syarikat melabur dalam membangunkan infrastruktur dan rangkaian digital mereka, menyebabkan sejumlah besar pekerjaan didigitalkan atau dipindahkan,” kata Pengarah Urusan Randstad Malaysia & Singapura Jaya Dass.
“Pekerja yang bidang kerjanya diubah secara drastik bagi memenuhi tuntutan baru mungkin bermotivasi untuk menyertai syarikat lain, di mana kemahiran dan pengalaman mereka masih relevan.
“Beberapa bahkan mungkin bertukar industri dan kerjaya sama sekali, dan akan mencari peluang pekerjaan yang dianggap lebih berdaya tahan terhadap kemelesetan atau dapat memberikan rasa lebih selamat, seperti dalam bidang kesihatan dan teknologi,” katanya, sambil menambah lebih banyak pergerakan dalam pasaran pekerjaan dijangka berlaku.
Responden juga menyebut gaji sebagai alasan untuk menukar majikan, dengan 26% dilaporkan terpaksa menerima potongan gaji atau pembekuan gaji sama ada selama-lamanya atau untuk sementara; sementara 24% lagi berkata mereka tidak berpuas hati dengan gaji sekarang.
Dass berkata langkah pengurusan kos yang diambil oleh syarikat boleh menyebabkan ketidakpastian di kalangan pekerja, mendorong mereka mencari majikan yang dilihat lebih stabil dari segi kewangan. – 5 Ogos 2020.
Berita penuh di sini
Komen