Tulis nama palsu di kedai nasi ayam, lelaki dikompaun RM1,000


Desmond Davidson

SEORANG lelaki dikompaun RM1,000 di Miri, Sarawak kerana memberi nama palsu semasa mendaftar masuk untuk membeli nasi ayam di sebuah kedai makan pada Sabtu lalu, kata polis.

Lelaki itu menuliskan nama palsu dalam buku pendaftaran pengesanan kontak yang disyaratkan sebagai antara peraturan operasi perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan fasa pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dennis Leong berkata tindakan lelaki itu dikesan apabila beliau gagal menyahut setelah namanya dipanggil semasa pihak berkuasa membuat pemeriksaan buku pendaftaran itu.

“Dalam kes ini, apabila namanya dipanggil, dia tidak menyahut. Itu sebabnya dia dikenakan kompaun,” katanya dalam sidang media taklimat harian perkembangan jangkitan Covid-19 di Sarawak, di Kuching.

Leong menjelaskan pendaftaran nama yang disyaratkan bertujuan untuk mengesan mereka yang terlibat sekiranya ada keperluan bagi membendung jangkitan Covid-19.

Media melaporkan lelaki itu menulis nama Inggeris yang tidak ada pada kad pengenalannya.

Leong menambahkan untuk mengelak sebarang masalah, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan nama seperti pada kad pengenalan.

Lelaki itu kini mendapatkan khidmat nasihat bekas datuk bandar Miri Lawrence Lai, yang juga peguam terkenal.

Lai dalam reaksinya mendakwa pihak berkuasa terlalu bertegas sehingga tersasar daripada matlamat asal SOP berkenaan.

Katanya banyak orang menggunakan nama Inggeris yang tiada pada kad pengenalan.

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sebastian Ting meminta jawatankuasa pengurusan bencana negeri mengeluarkan garis panduan peraturan.

Sarawak tidak mencatatkan kes baharu Covid-19 untuk hari keempat berturut-turut.

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah bagaimanapun mengingatkan rakyat Sarawak perang melawan Covid-19 belum lagi tamat.

Lapan pesakit Covid-19 juga sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah mereka yang pulih di negeri ini meningkat kepada 607 orang. – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen