PENYELESAIAN Perikatan Nasional dengan Goldman Sachs adalah terburu-buru dan terlalu awal, menjadikan kerajaan kehilangan besar kuasa tawar-menawar, kata bekas peguam negara Tommy Thomas.
“Mana-mana peguam litigasi akan menasihatkan kuasa tawar-menawar akan dimiliki kliennya, baik sebagai penggugat dalam proses sivil atau sebagai pendakwa dalam prosiding jenayah, supaya memulakan perbicaraan dengan publisiti negatif maksimum terhadap pihak yang tidak memiliki kelebihan.
“Kelebihan (tawar-menawar) ini tidak lagi dimiliki pentadbiran sekarang kerana penyelesaiannya terburu-buru dan terlalu awal.
“Tidak ada alasan objektif untuk mencapai penyelesaian pada saat ini.
“Apa yang seharusnya terjadi adalah memulakan perbicaraan jenayah terhadap Goldman Sachs dan para pengarahnya. Dari perspektif Malaysia, sebarang penyelesaian seharusnya hanya berlaku di tengah perbicaraan atau setelah keputusan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menambah bahawa ada dua kelebihan praktikal untuk menuntut perbicaraan Goldman Sachs dan pengarahnya di mahkamah jenayah.
“Pertama, tuduhan jenayah memastikan kuasa tawar-menawar lebih besar bagi Malaysia.
“Kedua, mahkamah yang sama dapat memerintahkan pampasan atau ganti rugi bagi mencerminkan kerugian yang ditanggung Malaysia dari tiga bon yang dirancang dan disusun oleh Goldman Sachs,” katanya.
Beliau berkata bahawa kerajaan pasti akan mempunyai kelebihan terhadap bank itu dan pengarahnya jika perbicaraan dimulakan.
Thomas berkata bahawa beliau telah menyaman syarikat Goldman Sachs pada bulan Disember 2018, diikuti pertuduhan terhadap 17 pengarahnya pada Ogos 2019.
Mereka juga turut akan dibicarakan bersama, tambahnya beliau lagi.
“Kita ada kes yang sangat kuat terhadap semua tertuduh, di mana ia akan dibuktikan pada perbicaraan.
“Kami yakin bahawa jika disabitkan, perbicaraan akan turut menghantar beberapa pengarahnya ke penjara, selain memerintahkan syarikat Goldman Sachs dan individu di dalamnya untuk membayar pampasan.”
Beliau merujuk kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang melaporkan bahawa Putrajaya mencapai kesepakatan yang lebih baik dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs berbanding dengan yang tawaran sebelum ini.
Berdasarkan perjanjian itu, Goldman Sachs akan membayar wang tunai AS$2.5 bilion (RM10.8 bilion) dengan selebihnya jaminan sebanyak AS$ 1.4 bilion untuk beberapa aset yang masih belum dapat dimiliki semula.
Bank pelaburan bersetuju bahawa Malaysia akan menerima jumlah bersih minimum AS$1.4 bilion daripada senarai aset yang dipersetujui dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pembayaran tersebut adalah bagi menyelesaikan caj dan tuntutan tertunggak yang berkaitan dengan tiga transaksi bon yang diatur oleh bank pelaburan itu untuk 1Malaysia Development Bhd.
Tawaran sebelumnya adalah bejumlah AS$1.75 bilion. – 3 Ogos, 2020.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ameer ameera · Ulasan