PUTRAJAYA mesti mengesahkan laporan bahawa ia telah menghentikan prosiding mahkamah di London terhadap International Petroleum Investment Corporation (IPIC) bagi memulihkan kerugian yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata ahli parlimen DAP, Tony Pua.
Pua berkata Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein harus menjawab laporan yang diterbitkan laman web Sarawak Report yang mendakwa bahawa 1MDB dan Kementerian Kewangan sedang berusaha untuk mengambil tindakan penyelesaian sebagai gantinya.
“Nampaknya, Hishamuddin ditugaskan untuk berunding secara langsung dengan kerajaan Abu Dhabi untuk penyelesaian lain.
“Hishamuddin harus segera atasi isu berhubung kebenaran laporan The Sarawak Report, jika gagal, tuntutan saman terhadap IPIC harus diteruskan untuk memastikan hasil yang terbaik bagi rakyat,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Putrajaya di bawah pemerintahan Pakatan Harapan pada 2018 telah mengajukan tuntutan saman terhadap IPIC di London bagi membatalkan penyelesaian yang dicapai antara firma Abu Dhabi dan 1MDB pada tahun sebelumnya, iaitu ketika pemerintahan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak.
Penyelesaian yang dibuat ketika pemerintahan Najib adalah dengan 1MDB membayar balik AS$1.2 bilion kepada IPIC pada akhir tahun 2017 berhubung pertikaian hutang bernilai RM5.8 bilion.
Kerajaan Pakatan ingin melonggarkan penyelesaian itu kerana ia dikatakan telah “meletakkan seluruh beban pembayaran balik untuk penipuan bon kepada 1MDB dan kerajaan Malaysia, di samping membebaskan IPIC dari sebarang kewajipan sepenuhnya”, kata Pua.
Pakatan berjaya membawa kes terhadap IPIC tersebut di Mahkamah Rayuan Britain, dan kes itu sepatutnya diadili di perbicaraan terbuka dan bukannya dengan cara penyelesaian tertutup.
Bagaimanapun, keadaan mengejutkan berlaku apabila Perikatan Nasional yang mengambil alih tampuk kerajaan ketika ini bertindak menghentikan proses perbicaraan seperti yang dilaporkan Sarawak Report, kata Pua.
Ahli Parlimen Damansara itu berkata bahawa perkara ini adalah kes terbaru yang menyaksikan kerajaan Muhyiddin “melepaskan” anak tiri Najib, Riza Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan penyelesaian Putrajaya dengan Goldman Sachs bagi sejumlah AS$2.5 bilion berbanding AS$7.5 bilion dolar yang dituntut Kerajaan Pakatan Harapan.
“Memandangkan rekod prestasi kerajaan Muhyiddin yang meragukan dalam mencapai penyelesaian, rakyat Malaysia risau jika kepentingan mereka sekali lagi bakal dikhianati,” kata Pua. – 3 Ogos, 2020.
Komen