KUMPULAN bekas ahli PKR yang diketuai bekas timbalan presidennya Azmin Ali masih mempertimbangkan usaha menyertai Muafakat Nasional (MN).
Beliau memberitahu pemberita, perkara tersebut masih di dalam pertimbangan memandangkan gabungan itu terbentuk lebih awal antara PAS dan Umno berbanding Perikatan Nasional (PN).
“Itu akan terus dibincangkan. Sebab MN terbentuk awal sebelum wujudnya PN antara dua buah parti.
“Suasana tentu berbeza dengan suasana hari ini, jadi perkara-perkara itu mesti dibuat perbincangan,” katanya ketika ditemui di Pulau Pinang.
Menteri kanan ekonomi itu ditanya sama ada beliau dan bekas ahli PKR akan menyertai MN yang merupakan kerjasama antara Umno dan PAS untuk memenangi pilihan raya.
Parti Bersatu sudahpun menyatakan hasrat untuk menyertai kerjasama tersebut selepas Umno menyatakan parti itu tidak akan menyertai gabungan parti Perikatan Nasional.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti tersebut sebaliknya akan mengukuhkan gabungan MN bersama PAS.
Beliau kemudiannya mendedahkan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meminta agar parti itu juga menyertai MN.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Azmin menjelaskan, segala perbincangan perlu diadakan tertutup bagi menghormati rakan-rakan parti PN.
“Saya percaya muafakat dan semangat yang dibina melalui PN pada awal tahun ini hingga sekarang terbukti telah berhasil. Tak perlu kita bincang dalam media atau sosial media.
“Perkara-perkara ini elok kita bincang secara tertutup sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan dalam PN untuk bentuk satu gagasan baru kepada rakyat,” jelas beliau.
Beliau juga semalam menggesa semua pihak agar tidak terlalu menumpukan kepada politik.
Kenyataan itu muncul sewaktu timbul cakap-cakap dalam Umno bahawa kumpulan yang dipimpin Azmin tidak akan memberi nilai tambah kepada MN.
Pemimpin Umno juga bimbang penyertaan Bersatu, yang dilihat tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan struktur pemimpin, akan membebankan MN. – 2 Ogos, 2020.
Komen