KERJA yang sedang dilakukan di Lebuhraya Pan Borneo menjadikan ia satu laluan berbahaya, walaupun untuk pemandu yang sering dan biasa menggunakannya.
Dengan kontraktor gagal mengambil tindakan melakukan penyelenggaraan kecil seperti menutup lubang jalan, kurang papan tanda dan amaran bahaya, tambahan lagi banyak peralihan simpang, menjadikan pemanduan di lebuh raya sepanjang 1,077km di Sarawak itu, sangan mencabar.
Ramai berkata ia sangat berbahaya pada waktu malam kerana lebuh raya itu tidak ada lampu.
Abun Sui Anyit, yang menggunakan lebuh raya itu dari rumahnya di Miri ke Bintulu, sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk kerja politik, berkata beliau pernah nyaris bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, pada satu malam ketika, antara Selangau dan Sibu.
“Saya masuk salah lorong. Saya sudah banyak kali memandu di lebuh raya itu tetapi pada hari itu, saya tidak nampak sebarang papan tanda dan ada peralihan laluan di situ.
“Saya masuk lorong baharu, saya ingat lorong yang betul. Kemudian saya nampak lampu kenderaan dari arah depan, sangat laju.”
Ketua penerangan PKR Sarawak itu yang sedang mengintai peluang bertanding di Belaga pada pilihan raya negeri akan datang, berkata insiden itu menakutkannya kerana beliau memandu bersama dua anak lelakinya.
“Tidak ada papan tanda menunjukkan simpang atau lorong yang perlu diambil selepas peralihan jalan itu,” katanya.
“Kalau ada pun, saya tidak nampak. Jadi saya rasa papan tanda tidak dipasang dengan baik.
Abun berkata secara amnya, papan tanda tidak mencukupi untuk memberi amaran bahaya kepada pengguna di lebuh raya itu.
“Saya anggap diri saya sebagai pengguna biasa dan tahu setiap jalan, lubang dan simpang di situ. Tetapi, saya masih rasa lebuh raya itu bahaya.
“Bagi mereka yang tidak pernah memandu di situ atau sesekali saja guna lebuh raya itu, ia boleh jadi sangat berbahaya jika mereka tidak berhati-hati.”
Penduduk Kuching Vatsalla Lamit, yang setiap bulan akan memandu sejak 114km setiap bulan ke rumah panjang di Saratok untuk menziarahi bapanya, menyifatkan pemanduannya sangat menyusahkan.
Katanya, walaupun pemanduan dari Kuching ke Saratok dianggap “tidak begitu teruk”, tetapi baru-baru ini, keadaan berbeza bagi perjalanan dari Bintulu ke Sibu.
“Bintulu ke Sibu sangat teruk, terutama pada waktu malam. Papan tanda tidak mencukupi untuk beri amaran selekoh berbahaya di depan.
“Dalam banyak kes, tidak ada papan tanda langsung. Sangat bahaya pada waktu malam.”
Jalan berlubang juga menyebabkan kereta rosak, katanya.
“Kebanyakan lencongan, jalannya berlubang besar,” katanya. – 2 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen