PERIKATAN Nasional patut memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan perusahaan kecil dan menjamin pekerjaan rakyat dan bukannya terus cuba menjatuhkan kerajaan, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu merujuk kepada keputusan kerajaan hanya membenarkan pelanjutan moratorium pinjaman bank ke atas kumpulan peminjam tertentu.
Pengumuman pelanjutan itu dibuat tiga hari lalu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pada masa sama, DUN Sabah dibubarkan selepas terdapat kejadian Adun lompat parti daripada kerajaan negeri dipimpin Warisan kepada Umno, yang didakwa didorong oleh suapan wang.
“DAP mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya berhenti membelanjakan wang untuk rampasan kuasa politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Harapan/Warisan tetapi memberi tumpuan kepada peluasan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil, gaji pekerja dan melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi bagi menyelamatkan perusahaan kecil daripada muflis dan (rakyat) kehilangan pekerjaan,” kata Lim dalam satu kenyataan, hari ini.
Bekas menteri kewangan itu juga berkata keputusan kerajaan PN untuk tidak melanjutkan moratorium selama enam bulan lagi sebagai “tidak berasas”.
“Sangatlah dikesalkan apabila kedegilan ini hanya melibatkan kos yang secara relatifnya kecil berbanding faedah, bank sudah rugi RM6.4 bilion sejak pelaksanaan moratorium enam bulan.
“Ini adalah harga (pengorbanan) yang kecil perlu dibayar oleh industri perbankan sedangkan mereka dianggarkan menerima RM32 bilion keuntungan selepas cukai pada 2019.”
Tambahnya, keuntungan 2019 lebih daripada cukup bagi bank menampung kos pelanjutan moratorium.
Lim berkata, sebelum meledaknya wabak Covid-19, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan yang 36% rakyat Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM1,000 ketika kecemasan dan 24% lagi tidak mempunyai simpanan cukup selama tiga bulan sekiranya hilang pekerjaan.
“Kos RM6.4 bilion itu adalah kecil dibandingkan dengan puluhan bilion ringgit serta pinjaman tambahan melibatkan dan di luar peruntukan pinjaman Belanjawan 2020 untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi Covid-19.”
Moratorium semasa setakat ini sudah membantu 7.7 juta peminjam persendirian dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – 1 Ogos, 2020.
Komen