Kumpulan doktor beri amaran Filipina berisiko kalah lawan Covid-19


Sebanyak 80 kumpulan perubatan mewakili puluhan ribu doktor di Filipina mendesak Presiden Rodrigo Duterte mengetatkan semula perintah sekatan pergerakan yang baru-baru ini dilonggarkan. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2020.

KUMPULAN doktor di Filipina hari ini memberi araman negara itu akan kalah dalam perang melawan pandemik Covid-19, dan mendesak Presiden Rodrigo Duterte mengetatkan semula perintah sekatan pergerakan yang baru-baru ini dilonggarkan.

Desakan susulan negara itu merekodkan peningkatan kes Covid-19 dan hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Sebanyak 80 kumpulan perubatan mewakili puluhan ribu doktor menandatangani surat terbuka, sehari selepas lebih 4,000 jangkitan baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid di Filipina kini melebihi 93,000.

“Petugas kesihatan bersatu memberi amaran kepada negara bahawa sistem kesihatan kita kini di luar kemampuan,” surat itu dipetik.

“Kita semakin kalah melawan Covid-19.”

Semakin petugas kesihatan jatuh sakit atau meletak jawatan, manakala beberapa hospital enggan menerima pesakit baharu, tambah kumpulan doktor tersebut.

Surat itu juga menggesa Duterte meletakkan semula Manila dan wilayah sekitarnya di bawah sekatan pergerakan diperketatkan sehingga 15 Ogos untuk mengawal jangkitan.

Filipina melaksanakan perintah berkurung pada pertengahan Mac lalu dan menjadi antara negara paling lama melaksanakan sekatan seumpamanya di dunia.

Kerajaan baru-baru ini melonggarkan sekatan bagi membolehkan rakyat kembali bekerja selepas ekonomi Filipina diramal meleset dengan berjuta pekerja hilang pekerjaan. – AFP, 1 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen