POLIS telah mengambil tindakan ke atas enam individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
“Dari 27 sehingga 31 Julai 2020, PDRM telah mengambil tindakan terhadap 6 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 2,271 pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam.
PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) katanya akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi.
Selain itu, Ismail Sabri berkata dari 24 hingga 31 Julai seramai 3,384 individu pulang dari 23 negara dan ditempatkan di 14 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.
“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.”
Menteri pertahanan itu juga berkata 134 individu ditahan polis kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Daripada jumlah itu, seramai 19 individu telah direman manakala 22 individu dijamin, manakala seramai 93 individu pula dikenakan kompaun.
Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen (12), aktiviti yang tidak mengikuti SOP (33), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (88) dan langar perintah pengawasan (1), katanya. – 1 Ogos, 2020.
Komen