KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau belum memikirkan tentang gabungan Umno-PAS, Muafakat Nasional (MN).
“Saya fikirkan tentang Covid-19. Kita perlu fokus pada Covid-19. Ini serius, Kuching kini kembali ke zon merah,” katanya hari ini.
Beliau mengulas tentang pendirian pakatan kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak’s (GPS) berkenaan mengumpulkan parti-parti Melayu Islam.
Negeri itu pada masa ini cuba mencegah gelombang kedua jangkitan Covid-19, susulan lonjakan kes baharu.
Abang Johari berkata memandangkan beliau tidak begitu mengikut perkembangan dalam MN, maka beliau tidak mahu memberi sebarang komen.
“Saya hanya tahu GPS. Jadi saya tidak mahu salah cakap.”
Ketika ditanya adakah beliau tahu rakan GPS dalam Perikatan Nasional Plus iaitu Bersatu bercadang menyertai kumpulan Umno-PAS, Abang Johari berkata: “Anda pasti? Adakah ia sudah disahkan? Atau hanya khabar angin?”
Beliau mengulangi pendirian pada masa ini ialah GPS sokong kerajaan persekutuan Perikatan Nasional dan itu saja.
GPS ialah gabungan empat parti Sarawak – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – 1 Ogos, 2020.
Komen