Selepas pulih Covid-19, Bolsonaro gesa rakyat Brazil tidak perlu takut


Presiden Brazil Jair Bolsonaro berdepan kritikan susulan caranya menangani wabak ketika negara itu mengalami jumlah kes dan kematian kedua tertinggi di dunia. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2020.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro berkata hampir semua orang mungkin akan dijangkiti koronavirus, mendesak rakyat negara itu bersiap sedia menghadapinya dan berkata tiada apa perlu ditakuti.

Ia kenyataan terkini pemimpin sayap kanan itu mengenai pandemik ketika Brazil menghampiri angka 100,000 orang maut disebabkan virus itu, angka kematian kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat.

Bolsonaro, yang baru sahaja selesai kuarantin tiga minggu akibat virus, menjadikan kesnya sebagai contoh.

“Saya berada dalam kumpulan berisiko tinggi,” kata presiden berusia 65 tahun itu kepada wartawan semasa lawatan ke Rio Grande do Sul.

“Saya sedar akan dijangkitinya juga satu hari nanti, sebagaimana semua yang berada di sini. Apa yang anda takutkan? Hadapinya sahaja,” katanya.

“Saya kesal dengan kematian yang berlaku. Tetapi orang mati setiap hari, kerana banyak perkara. Itulah kehidupan.”

Bolsonaro berdepan kritikan susulan caranya menangani wabak ketika ia meningkat di Brazil, negara dengan jumlah kes dan kematian kedua tertinggi di dunia, lebih 2.6 juta jangkitan dan 92,000 kematian.

Bolsonaro, yang membandingkan virus itu dengan “selesema kecil,” menentang langkah tinggal di rumah untuk membendungnya dan secara berkala melanggar garis panduan penjarakan fizikal, turun di jalanan di Brasilia untuk berjabat tangan dan memeluk penyokongnya.

Beliau diuji positif virus pada 7 Julai selepas mengalami demam, dan menghabiskan tempoh tiga minggu dalam pengasingan di istana presiden.

Pada Khamis, dalam acara umum pertamanya sejak sakit, beliau bertemu sekumpulan penyokongnya di bahagian timur laut negeri Piaui, membuka pelitup muka dalam sorakan penyokongnya.

Pada hari yang sama, pejabat presiden mengumumkan isterinya positif virus.

Bolsonaro kemudian sekali lagi memaklumkan berasa tidak sihat dan mengambil antibiotik untuk jangkitan yang disifatkannya disebabkan tidak aktif semasa kuarantin.

Bolsonaro berpendapat langkah tinggal di rumah merugikan ekonomi.

Beliau turut menyokong penggunaan ubat hidroksiklorokuin sebagai rawatan untuk virus dan mengambilnya ketika dijangkiti, walaupun banyak kajian mendapati ia tidak memberi manfaat terhadap Covid-19. – AFP, 1 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen