RATUSAN kanak-kanak dijangkiti koronavirus ketika kem musim panas di Georgia, Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, kata pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat, sambil menambah bukti menunjukkan mereka di bawah umur mudah terdedah dengan jangkitan dan vektor penularan.
Virus itu menjangkiti sekurang-kurangnya 260 daripada 597 orang yang hadir, kata Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), sambil menambah jumlah sebenarnya mungkin lebih tinggi kerana hasil ujian hanya melibatkan 58% daripada kumpulan itu.
Kem tidak mengendahkan nasihat CDC yang semua peserta di kem musim panas perlu memakai pelitup muka - dengan mewajibkannya di kalangan kakitangan sahaja.
Namun, ia mematuhi perintah eksekutif negeri yang mewajibkan semua peserta menunjukkan bukti negatif ujian Covid-19 negatif yang diambil 12 hari atau kurang sebelum mereka tiba.
Langkah pencegahan lain termasuk penjarakan fizikal, kerap membasmi kuman, memastikan kanak-kanak dalam kumpulan kecil yang sama, juga dikenal sebagai “cohorting”, dan penggunaan ruang komunal secara berperingkat.
Perkhemahan ini mengadakan sesi orentasi bagi 138 pelatih dan 120 kakitangan dari 17 Jun hingga 20 Jun - sebahagian besar terdiri daripada yang berumur 21 tahun ke bawah.
Selepas latihan tamat, kakitangan tetap berada di sana apabila kem dibuka secara rasmi pada 21 Jun dan 363 orang pula datang, kebanyakan berumur antara enam hingga 19 tahun, serta tiga lagi kakitangan kanan.
Peserta perkhemahan terlibat dalam pelbagai aktiviti dalam dan luar, kata laporan itu. Mereka tidur di kabin sehingga 26 orang.
Pada 23 Jun, seorang kakitangan remaja meninggalkan perkhemahan selepas mengalami demam pada malam sebelumnya. Beliau kemudiannya diuji Covid-19 pada 24 Jun dan keputusan positif diperoleh pada hari yang sama.
Perkhemahan itu mula menghantar peserta pulang pada hari itu dan menutup kem pada 27 Jun.
Siasatan kesihatan yang dimulakan pada 25 Jun mendapati 260 daripada 344 orang yang diuji keputusan didapati positif.
Di antara mereka, 74% mengalami gejala ringan termasuk demam, sakit kepala dan sakit tekak sementara selebihnya tidak menunjukkan gejala.
Kadar serangan adalah jumlah kes baharu dibahagikan dengan jumlah populasi berisiko.
Penulis menambah penemuan ini menyumbang kepada bukti “yang menunjukkan kanak-kanak dari semua peringkat umur terdedah kepada jangkitan SARS-CoV-2 dan, bertentangan dengan laporan awal, mungkin memainkan peranan penting dalam penularan.” – AFP, 1 Ogos, 2020.
Komen