Hong Kong disokong China tangguh pilihan raya kerana Covid-19


Hong Kong menangguhkan pilihan raya ke tahun hadapan menggunakan alasan Covid-19 tetapi ia dianggap banyak pihak usaha melemahkan pembangkang. – Gambar AFP, 31 Julai, 2020.

PEJUANG demokrasi Hong Kong digugat hebat selepas semalam, pihak berkuasa mengumumkan penangguhan pilihan raya tempatan selama setahun kerana wabak Covid-19, selepas bulan ini menyaksikan ramai ahli politik hilang kelayakan, ditahan kerana coretan di media sosial dan aktivis melarikan diri ke luar negara.

Kem demokrasi wilayah itu sering menjadi tumpuan sasaran sejak Beijing menguatkuasakan undang-undang keselamatan negara menyeluruh bulan lepas- tindakan yang disifatkan pemimpin China seperti meletak pedang di tengkuk pengkritiknya.

Sejak beberapa minggu lepas, kem demokrasi di wilayah yang lantang bersuara dan sepatutnya dijamin hak kebebasan dan autonomi mereka di bawah perjanjian “Satu Negara, Dua Sistem” yang dibuat pada 1997 sebelum penyerahan dari Britain, tergugat hebat.

Petang semalam, Ketua Pegawai Eksekutif HK pro Beijing Carrie Lam, mengumumkan yang pilihan raya dijadualkan berlaku pada September untuk wilayah itu akan ditunda selama setahun menggunakan kuasa kecemasan anti virus.

Beliau menafikan ia adalah keputusan bermotif politik untuk melemahkan pembangkang di wilayah itu.

“Saya hanya beri perhatian kepada situasi pandemik semasa,” katanya.

Beijing mengalu-alukan langkah itu sebagai “perlu, masuk akal dan sah.”

Tetapi, keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong demokrasi yang memberi amaran akan membantah sebarang usaha menangguhkan pilihan raya, menuduh pihak berkuasa menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang rakyat mengundi.

Hong Kong bukan demokrasi- pemimpinnya dipilih jawatankuasa pro-Beijing.

Tetapi, separuh daripada 70 kerusi dalam Parlimennya dipilih, memberi pilihan kepada 7.5 juta penduduknya menggunakan suara mereka di kotak undi.

Merancang menggunakan protes anti Beijing besar-besaran yang sering bertukar menjadi keganasan tahun lepas, aktivis demokrasi berharap mereka akan menang besar September ini.

Tetapi, pihak berkuasa mula bertindak ke atas senarai calon.

Alasan digunakan termasuklah mengecam undang-undang keselamatan baharu, berkempen untuk menang majoriti sekat perundangan dan enggan mengiktiraf kedaulatan China.

Sekitar 3,300 kes Covid-19 dikesan di Hong Kong sejak bulan lepas dan pihak berkuasa bimbang hospital tidak lagi mampu merawat pesakit. – AFP, 31 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen