Kes Covid-19 di Sarawak hanya libatkan warga asing hari ini


Desmond Davidson

Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) negara ini berhubung ketibaan dari luar negara, lelaki Indonesia itu dikuarantin di Kuching selama 14 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

SEORANG warga Indonesia, yang secara sah memasuki negeri ini melalui Biawak di sempadan Sarawak-Kalimantan di Lundu pada hari Khamis, adalah kes positif terbaru Covid-19 di Sarawak.

Lelaki yang berasal dari Sambas di Kalimantan Barat itu dalam perjalanan untuk bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat kejuruteraan.

Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) negara ini berhubung ketibaan dari luar negara, lelaki itu segera dibawa ke hotel kuarantin di Kuching bagi menjalani ujian kuarantin selama 14 hari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata walaupun lelaki itu tidak menunjukkan simptom jangkitan yang membunuh 19 orang di negeri ini, ujian swab pada hari Jumaat menunjukkan bahawa beliau positif Covid-19.

Lelaki itu kini dirawat di hospital am di Kuching.

Bermula esok Sarawak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari antara daerah zon merah dan kuning di Kuching, Samarahan dan Serian dan zon hijau di seluruh negeri dalam usaha melindungi daerah zon hijau.

Ketiga-tiga daerah itu ditetapkan secara rasmi sebagai ‘zon 1’ sementara daerah zon hijau di seluruh negeri sebagai ‘zon 2’.

Sebuah daerah diwartakan sebagai zon merah jika mencatatkan lebih daripada 40 kes dalam tempoh 14 hari dan zon kuning jika dilaporkan antara satu hingga 40 kes.

Zon hijau bermaksud tidak ada kes yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

Sejak pertengahan bulan ini, Malaysia mencatat lonjakan jumlah kes di ketiga-tiga daerah tersebut.

Sebanyak 100 kes dilaporkan dari 10 kluster.

Dalam satu kenyataan, polis berkata bahawa mereka akan mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan Simunjan - Sri Aman di Lebuh raya Pan Borneo untuk menguatkuasakan sekatan pergerakan antara daerah yang dijangkiti dan daerah yang tidak dijangkiti.

Persimpangan itu terletak di sempadan Serian-Sri Aman.

Polis berkata mereka juga akan menyekat pergerakan antara Simunjan dan Sri Aman yang menggunakan feri di jalan pesisir Triso.

Permit polis juga diperlukan untuk perjalanan ke dalam dan luar zon 1.

Ia akan diberikan kepada mereka yang menjalankan tugas rasmi, perkhidmatan penting, menghadiri kematian ahli keluarga terdekat, selain mengunjungi ahli keluarga yang sakit kritikal dan mereka yang perlu mendapatkan rawatan perubatan.

Sekatan perjalanan tersebut turut menjejaskan beberapa kerja di Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.

Kementerian Kerja Raya dan polis berkata kerja-kerja boleh dijalankan seperti biasa dengan syarat pekerja mempunyai kebenaran polis dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Dev Kumar berkata bahawa pekerja harus memohon kebenaran di bawah kategori perkhidmatan penting.

“Pekerja perlu mengemukakan surat daripada syarikat yang mengesahkan pekerjaan mereka di kawasan lebuh raya,” tambahnya. – 31 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen