27 pulih, 12 kes baharu dan 1 korban Covid-19 hari ini


Malaysia melaporkan 27 kes pulih, 12 kes baharu dan seorang korban wabak Covid-19 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

MALAYSIA hari ini melaporkan satu korban wabak Covid-19 dan jumlah kes pulih melebihi kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Korban wabak hari ini adalah seorang warga Filipina yang mempunyai sejarah penyakit jantung.

Lelaki berusia 64 tahun itu dengan gejala demam, batuk-batuk dan sukar bernafas tidak mendapatkan rawatan.

Beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Sabah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diumumkan meninggal dunia.

Ujian Covid-19 dibuat menunjukkan beliau positif.

Sementara itu, selepas dua minggu melaporkan jumlah kes baharu melebihi kes pulih, Malaysia hari ini melaporkan 27 kes pulih berbanding 12 kes baharu.

Jumlah kes pulih Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 8,644.

Manakala, setakat 12 tengahari tadi, daripada 12 kes baharu yang dilaporkan, tujuh adalah kes jangkitan tempatan.

Data terbaru ini menjadikan jumlah kes Covid-19 Malaysia kini sebanyak 8,976.

Daripada tujuh kes jangkitan tempatan hari ini, lima kes melibatkan warga Malaysia dan dua lagi bukan warganegara.

Dua kes jangkitan tempatan melibatkan warga Malaysia dikesan ketika ujian saringan pra pembedahan di Johor dan di Selangor.

Manakala, Kluster Sivagangga pula melaporkan dua kes baharu, dan kes kelima warga Malaysia jangkitan tempatan adalah saringan masuk penjara di Negeri Sembilan.

Selain korban warga Filipina, satu lagi kes jangkitan tempatan melibatkan warga asing dikesan di Johor.

Lima lagi kes adalah kes import melibatkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk Malaysia.

Jumlah kes aktif setakat hari ini adalah 207 kes.

Tiga pesakit kini ditempatkan dalam ICU dan seorang daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan. – 31 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen