SYARIKAT penerbangan Belanda, KLM, hari ini berkata akan membuang sehingga 5,000 pekerja kerana “krisis hebat tidak pernah berlaku” yang disebabkan wabak Covid-19.
Syarikat itu, sebahagian daripada kumpulan Air France KLM, berkata pembuangan akan dijalankan sehingga 2021 adalah perlu kerana ia rugi besar walaupun menerima bantuan kerajaan Belanda sebanyak €3.4 bilion (RM17.2 bilion).
Pembuangan itu akan melibatkan sekitar 1,500 pembuangan wajib daripada jumlah keseluruhan pekerja KLM seramai 33,000, kata syarikat.
Ia juga akan melibatkan 2,000 pembuangan kerja secara sukarela yang diumumkan awal tahun ini, dan 1,500 pekerja kontrak pula tidak akan diperbaharui kontrak mereka.
“KLM dilanda krisis hebat tidak pernah berlaku sebelum ini, jangkaan yang jalan pemulihan masih panjang dan bergelut dengan ketidaktentuan,” kata KLM dalam satu kenyataan.
“Ini bermakna struktur dan saiz KLM perlu diselaraskan menjelang beberapa tahun lagi. Kesannya, sejumlah 4,500 sehingga 5,000 jawatan dalam Kumpulan KLM akan dimansuhkan.”
Pembuangan pekerja itu melibatkan 300 krew penerbangan, 300 anak kapal, 500 kakitangan darat dan 400 orang dalam anak syarikat KLM dan Air France-KLM.
KLM berkata syarikat juga “akan terus membuka kemungkinan akan berlaku pengurangan pekerja susulan” disebabkan “tahap ketidaktentuan tinggi” dalam industri penerbangan disebabkan wabak dengan permintaan dijangka tidak akan pulih sehingga 2023 atau 2024.
“Sangat sukar dan menyedihkan untuk KLM yang sekarang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerja yang berharga dan komited,” kata CEO KLM Pieter Elbers dalam kenyataan itu.
KLM semalam melaporkan kerugian tidak pernah berlaku sebelum ini mencecah €768 juta untuk separuh pertama 2020, dengan jumlah penumpang jatuh 95% pada suku kedua daripada sembilan juta orang kepada hanya separuh juta.
Air France-KLM juga mengumumkan kerugian suku kedua sebanyak €2.6 bilion, menambah yang kedua-dua syarikat penerbangan itu “perlu dengan signifikan mengurangkan” tenaga kerja mereka.
KLM dan Air France adalah antara syarikat penerbangan Eropah yang menerima bantuan kerajaan bagi berdepan kesan wabak. – AFP, 31 Julai, 2020.
Komen