
PRESIDEN Umno Najib Razak berkata kedatangannya di hospital untuk melawat seteru politiknya, Anwar Ibrahim adalah lawatan ihsan.
“Ia cuma lawatan. Saya melawat beliau (Anwar) dalam hospital semasa dia sakit kerana dia merupakan kenalan lama. Ia cuma lawatan, sebab itu saya bawa isteri saya,” kata Najib ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno (PAU 2017) di PWTC hari ini.
“Tapi, keikhlasan kami itu, tampaknya diperli dengan pantun pula. Ini jawapannya saudara Anwar, dengar ya.
Burung merpati terbang sekawan,
Hinggap seekor di atas dahan,
Kita sahut ‘lawan tetap lawan’,
Di pilihan raya bertarunglah seperti anak jantan,” katanya di hadapan ribuan perwakilan hari ini.
Kunjungan Najib mencetuskan spekulasi politik yang dihangatkan lagi apabila beberapa hari kemudian timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kanan Umno, Nazri Aziz juga menziarahi Anwar di hospital.
Susulan lawatan itu, Anwar menulis pantun di Facebook yang mengubah suai baris terakhir pantun Melayu lama:
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Ziarah kami antara nampak,
Esok pilihan raya lawan tetap lawan. – 7 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan