Orang Johor lebih suka Muafakat Nasional, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

MN adalah nama kerjasama rasmi Umno dan PAS, yang dimeterai pada pertengahan September 2019, bertujuan memberi tawaran baharu kepada Malaysia melalui penyatuan dua parti terbesar Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2020.

BENTUK persefahaman Muafakat Nasional (MN) dengan PAS lebih diminati pegundi Melayu terutama di Johor berbanding Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin Umno negeri itu.

Oleh itu perjanjian berkenaan perlu dijadikan teras dalam membentuk persefahaman politik pada masa depan, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pengundi tetap lebih gemar kepada MN walau terdapat usaha mendaftarkan PN sebagai gabungan parti rasmi.

“Sekarang menuju ke hadapan, sama ada PN perlu dibentuk dalam bentuk rasmi berdaftar atau tidak, rata-rata di Johor, rakyat dan ahli Umno lebih pilih MN banding PN.

“Mesej ini sudah dibawa dalam mesyuarat MN, sebab itu kita nak MN jadi teras dalam apa-apa persefahaman politik yang akan dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan seterusnya,” katanya.

Nur Jazlan juga berkata MN tidak akan didaftarkan sebagai entiti rasmi politik, demi mengekalkan jenama Barisan Nasional (BN) dan PAS yang sudah wujud sejak puluhan tahun.

“Dalam MN kita boleh beralah, dalam MN tiada masalah, kita tak mahu daftar MN sebagai parti rasmi, macam BN kita tak nak rugi jenama kita.

“Baik kita kekal tanding bawah simbol kita sendiri,” katanya.

MN adalah nama kerjasama rasmi Umno dan PAS, yang dimeterai pada pertengahan September 2019, bertujuan memberi tawaran baharu kepada Malaysia melalui penyatuan dua parti terbesar Melayu.

Pembentukan kerjasama itu adalah kemuncak beberapa isu yang berbangkit semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang dibingkaikan sebagai “kepentingan Melayu dan Islam yang terjejas”.

Kerjasama tersebut kini cuba disertai parti Bersatu yang mengetuai gabungan parti pemerintah PN.

Mengulas mengenai usaha itu, Nur Jazlan berkata beliau menjangka ia akan membebankan MN di Johor memandangkan parti itu tidak mempunyai akar umbi dan jentera kukuh di negeri tersebut.

Nur Jazlan Mohamed berkata pengundi tetap lebih gemar kepada MN walau terdapat usaha mendaftarkan PN sebagai gabungan parti rasmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Ogos, 2020.

Bersatu yang memimpin kerajaan PN tiada kekuatan tersebut walaupun Johor dikatakan antara kawasan kelahiran pemimpin parti itu, jelas Nur Jazlan.

“Yang penting sekarang bagaimana rakyat memilih pada PRU15, bagaimana Bersatu pula akan jadi rakan, sama ada dalam PN atau MN.

“Kerana memang Bersatu, walaupun dikatakan berpengaruh di Johor, rata-rata di semua bahagian mereka keahlian tak besar.

“Bersatu amat bergantung pada jentera dan undi ahli MN untuk memang PRU akan datang,” kata Nur Jazlan.

Tambahnya lagi, tiada jaminan pemimpin Bersatu akan beroleh kemenangan dan majoriti seperti pilihan raya umum lepas kerana itu merupakan undi penyokong PH.

“PRU lepas undi mereka daripada PH, majoriti mereka hari ini adalah pengundi PH yang pasti akan tolak Bersatu. Adakah pengundi MN akan sanggup mengundi calon Bersatu?” soalnya.

Oleh itu beliau berpendapat kerusi ditandingi calon Bersatu akan tewas atas beberapa faktor lain.

“Sekiranya mereka pilih kawasan yang terlalu bergantung kepada MN dan pilih calon tak sesuai, tak pasal-pasal kita akan kalah kerusi tersebut,” kata Nur Jazlan.

Tambahnya lagi, kerjasama dalam MN juga lebih baik kerana wujud rasa hormat antara PAS dan Umno walaupun kedua-duanya saling bermusuhan sebelum ini.

“MN ini sebenarnya kita boleh wujudkan kerjasama kerana ada piagam, kerana sikap saling menghormati antara Umno dan PAS.

“Walaupun dianggap musuh satu sama lain kita ada rasa hormat, (apabila) sampai kepentingan Melayu dan Islam kita duduk semeja,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan di peringkat struktur organisasi MN di bahagian-bahagian berkenaan pilihan raya juga sedang berlangsung, kecuali berkaitan pembahagian kerusi. – 1 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen