PRESIDEN Umno Najib Razak hanya menyentuh sepintas lalu mengenai isu hubungan Umno dan PAS ketika berucap di perhimpunan agung partinya hari ini – perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum diadakan tahun depan.
Beliau sekadar menyimpulkannya sebagai hubungan atas dasar kepentingan umat Islam, tanpa menjelaskan lebih lanjut.
“Pendirian kita amat jelas iaitu hubungan kita dengan mereka adalah terasas, demi kepentingan umat Islam, sekalipun pandangan politik tetap berbeza,” kata Najib ketika menyampaikan ucapan dasar di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
PAS menerima layanan mesra Umno selepas menjauhkan diri daripada kerjasama politik dengan parti pembangkang DAP dan PKR melalui Pakatan Rakyat sejak 2014.
Malah para pemimpin tertinggi PAS termasuk presidennya Abdul Hadi Awang turut diraikan di pentas Umno dalam perhimpunan sebelum ini.
Perkembangan itu menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan pemerhati yang antara lainnya melihat, kedua-dua parti dominan orang Melayu itu akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Selain itu, Najib dalam ucapannya bersependapat dengan timbalannya tentang kenyataan “buta warna” dalam isu kemanusiaan.
Katanya, Umno dan Barisan Nasional terus mengamalkan konsep bermusyawarah sebagai sebuah keluarga besar.
Tambahnya, kerajaan di bawah Umno terus komited memelihara syiar Islam dengan memberi bantuan kepada bilal, imam, tok siak dan guru Kafa.
“Kerajaan akan terus membangunkan dan menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara pusat tahfiz di seluruh negara.” – 7 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan