TIDAK timbul isu sama ada Umno menyertai atau tinggalkan Perikatan Nasional (PN) kerana gabungan masih tidak berdaftar, kata Annuar Musa.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata Umno tidak boleh dikatakan tinggalkan PN kerana parti itu tidak pernah menyertainya.
“Apa yang dimaksudkan oleh presiden (Ahmad Zahid Hamidi) ialah Perikatan Nasional itu masih satu badan yang tak berdaftar.
“Itu konsep loose coalition antara parti-parti melalui ahli Parlimen membentuk kerajaan dan kita mahu kekal begitu.
“Jadi buat masa ini Perikatan Nasional itu kekal sebagai konsep, bukan menjadi sebuah parti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Rimba Kiara hari ini.
Terdahulu, Zahid berkata Umno tidak akan menjadi sebahagian daripada PN walaupun membentuk kerajaan bersama Bersatu dan ahli Parlimen yang belot PKR.
Umno sebaliknya mahu memperkukuhkan kerjasama politik dengan PAS dalam MN dan komponen BN, katanya.
Zahid juga berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semalam memaklumkan hasrat partinya mahu menyertai MN.
Annuar petang tadi berkata mana-mana parti dialu-alukan untuk menyertai MN dengan syarat mesti berteraskan penyatuan orang Melayu dan umat Islam.
“Mesti bersatu padu untuk membolehkan kita memberikan keadilan dan perlindungan kepada bukan Melayu dan bukan Islam.
“Sekarang ini kita merasakan untuk mewujudkan satu politik yang lebih kukuh, lebih padu dan boleh fokus kepada agenda membangun negara dan rakyat.
“MN itu ada potensi yang boleh diperkukuhkan, jadi sekarang ini Umno dan Pas, kalau parti lain nak sertai MN atau tujuan penyatuan, itu yang sebaik-baiknya.
“Kita buka pintu kepada parti lain untuk mempertimbangkan menyertai Muafakat Nasional, maka tak timbullah isu ahli Muafakat Nasional masuk Perikatan Nasional,” jelasnya.
Zahid pada sidang media petang tadi berkata Muhyiddin menyampaikan hasrat menyertai MN dalam pertemuan perdana menteri itu bersama ahli Parlimen BN di Bangunan Parlimen tengah hari semalam.
“Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya.
Jelas Zahid, beliau menyerahkan kepada jawatankuasa induk MN untuk menimbang hasrat Bersatu, dengan melihat sejauh mana penyertaan parti itu akan mengukuhkan lagi muafakat demi kepentingan rakyat dan negara.
Ditanya bila keputusan mengenainya akan dibuat, Zahid berkata: “Kita utamakan raya haji dulu, baru kita cerita hal politik.” – 30 Julai, 2020.
Komen