Musa Aman rayu YDP Sabah tidak bubar DUN


The Malaysian Insight

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pada sidang media khas di Kota Kinabalu petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 30 Julai, 2020.

UMNO Sabah akan merayu kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin supaya tidak membubarkan  Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana percaya mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman mendakwa beliau memperoleh sokongan 33 daripada 65 Adun untuk membentuk kerajaan baharu.

Katanya, pilihan raya negeri tidak wajar diadakan lebih-lebih lagi apabila negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

Musa berkata demikian pada sidang media khas di Kota Kinabalu petang ini, tidak sampai tiga jam selepas pengumuman pembubaran DUN Sabah.

Terdahulu pagi tadi, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal umum mendapat perkenan Juhar untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

“Kita meminta peguam kita meneliti perkara ini. Mungkin kita akan membuat rayuan kepada YDP, kalau boleh dewan (DUN) tidak perlu dibubarkan,” kata Musa.

“Kita bukan hendak menentang keputusan yang dibuat oleh YDP tetapi ini pandangan kita, mengikut keadaan yang ada pada hari ini.

“Saya percaya begitu juga perasaan rakyat. Tidak perlu rakyat disusahkan lagi kerana yang ada pada hari ini, gabungan yang baharu ini adalah gabungan yang cukup untuk mentadbir kerajaan negeri, cukup majoriti. We have a simple majority (majoriti mudah),” kata Musa sambil menunjukkan 33 adun yang duduk di belakangnya semasa sidang media.

“Kita sekarang sudah majoriti. Kita adalah kerajaan demokrasi, the majority rules. Mengapa pula tiba-tiba dewan (DUN) dibubarkan? Kita ada 3 tahun lagi (sebelum pilihan raya) kenapa harus dibubarkan?”

Pembubaran DUN Sabah menandakan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Warisan selama 26 bulan berakhir selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Terdahulu pagi tadi, Musa menyerahkan surat 33 akuan bersumpah yang mengesahkan bahawa kesemua Adun tersebut menarik semula sokongan mereka kepada Shafie. – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen